HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Oktober 2012

Penahanan 2 rakyat Malaysia di Lubnan kes terpencil, kata Muhyiddin

SINAR HARIAN

Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
 
LABUAN - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan penahanan dua rakyat Malaysia di Lubnan yang didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda sebagai kes terpencil.

"Kes itu sedang dipantau oleh Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhyiddin yang kini dalam rangka lawatan sehari ke pulau bebas cukai itu percaya negara berkenaan mempunyai undang-undang untuk dikuatkuasa terhadap sesiapa yang dianggap tergolong dalan kumpulan pengganas al-Qaeda.

Sebelum ini dilaporkan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata dua orang rakyat Malaysia itu masing-masing berumur 28 dan 21 tahun, ditahan di Beirut oleh pihak berkuasa Lubnan, pada 18 Okt lalu.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta rakyat dan pelajar Malaysia yang berada di pantai timur Amerika Syarikat mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dalam menghadapi Taufan Sandy ketika ini.

Muhyiddin berkata, rakyat Malaysia harus mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri mereka dan mematuhi arahan serta nasihat demi keselamatan diri.

Berdasarkan laporan CNN, situasi di sana agak serius, katanya.

Beliau turut menasihatkan pelajar dan rakyat Malaysia supaya sentiasa menghubungi pejabat kedutaan Malaysia di negara itu bagi mendapatkan laporan terkini, dan menyimpan bahan makanan serta keperluan asas lain bagi menghadapi sebarang kemungkinan akibat bencana alam itu.

Mengenai insentif diskaun tambang 50 peratus feri penumpang dan tambang feri kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dalam Bajet 2013, Muhyiddin berkata pemberian itu akan dikuatkuasa pada 1 Jan depan.

"Sebagai contoh sekiranya tambang feri biasa RM5, namun pada 1 Jan depan tambang akan turun separuh menjadi RM2.50 sahaja," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: