HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Oktober 2012

Kalau macam ini, Umno boleh runtuh di Johor

Zulkifli Sulong,
KOTA TINGGI: "Jika sambutan macam ini di Kota Tinggi, ia adalah isyarat jelas Umno boleh runtuh di Johor," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub kepada hampir 1,000 tetamu yang memenuhi Dewan Chun Moi, di sini.

70 peratus dari tetamu yang datang malam tadi adalah Cina dan India Kota Tinggi di samping kawasan berdekatantermasuk Pengerang dan Bandar Tenggara.

Mereka menyertai majlis makan malam anjuran Pakatan Rakyat Kota Tinggi yang diterajui oleh PAS. Turut serta adalah pemimpin DHPP Pusat termasuk ketuanya, Hu Pang Chaw dan ketua wanitanya, Kamutha Raman.

Pada pilihan raya 1999, calon PAS yang bertanding di situ hilang wang pertaruhannya kerana jumlah undi yang diperolehinya terlalu sedikit. Calon PAS yang kini AJK PAS Pusat itu kalah kepada Datuk Seri Hamid Albar.

Pada tahun 2004, Hamid menang tanpa bertanding di Parlimen Kota Tnggi itu. Dalam pilihan raya 2008, calon PAS, Onn Jaffar yang bertanding di situ hanya mendapat 3,000 lebih undi.

"Saya masih ingat, ketika Tok Guru Nik Aziz datang berceramah di Muar pada tahun 1987 dulu, hanya enam orang sahaja yang datang mendengarnya," beritahu Salahuddin.

Kesemua ini membayangkan  Johor adalah kubu Umno dan amat sukar bagi PAS untuk menembusinya dan Kota Tinggi adalah kubu bagi segala kubu untuk Umno di Johor. Majlis-majlis PAS amat sedikit disertai orang ramai.

"Kedatangan malam ini adalah penanda penting sokongan pengundi terhadap PAS di Johor khasnya dari kaum Cina dan India," kata Salahudin kepada Harakahdaily selepas majlis itu.

Dalam perjalanan ke Kota Tinggi, Salahudin berkata, dia beriya-iya benar mahu ke majlis malam tadi kerana mahu melihat sendiri sambutan terhadap PAS di kubu Umno ini.

Malam tadi ada tiga program serentak di Johor. Makan malam anjuran DAP di Kulai, Ceramah umum bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Skudai dan makan malam di Kota Tinggi ini.

Beliau hanya menyertai majlis di Kota Tinggi dan Kulai tetapi tidak pergi ke Skudai kerana memberikan keutamaan majlis di Kota Tnggi ini.

"Kalau sambutan baik, ia akan mengesahkan teori sebelum ini bahawa gelombang sebenarnya sedang melanda di Johor," katanya.

Terbukti, sambutannya amat mengejutkan beliau. Onn Jaffar, Timbalan Ketua Penerangan PAS Johor yang menjadi calon PAS dalam pilihan raya 2008 juga mengesahkannya.

"Masa saya bertanding dulu, hanya mangsa-mangsa banjir 2006 lalu yang kami tolong di bandar Kota Tinggi ini menyambut kami. Yang lain semuanya bersama BN," kata Onn mengingati tragedi banjir besar yang melanda banda Kota Tinggi dahulu.

Ketika itu, nama Unit Amal PAS naik memuncak ekoran kesungguhan mereka membantu mangsa-mangsa banjir menyelamatkan barangan mereka termasuk membersihkan rumah selepas banjir.

"Mereka cukup marah kepada Hamid Albar ketika itu kerana beliau terus berada di luar negara ketika pengundinya menghadapi banjir yang jarang sekali berlaku.

"Namun hal ini tidak berlaku kepada bukan mangsa banjir terutama orang Melayu di sini," kata Onn.

Di hadapan kira-kira 1,000 tetamu majlis itulah Salahudin sekali lagi mengumumkan akan bertanding di Johor dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya telah membua keputusan penting dalam sejarah kerier politik saya bahaa saya akan bertanding di tanah tumpah daraah saya iaitu Johor dalam pilihan raya umum akan datang ini," umum anggota Parlimen Kubang Kerian itu.

Ia disambut tepukan gemuruh oleh semua yang hadir dan ada antara mereka yang berdiri memberikan tepukan itu di samping penyokong PAS yang bertakbir memuji kebesaran Allah.

Salahudin berada di kerusi selamat di Kubang Kerian selepas dua penggal bertanding di situ. Kini beliau bersama gelombang kebangkitan di Johor serta pengundi dari Sabah dan juga Sarawak untuk membentuk politik baru di Malaysia.

Tiada ulasan: