Oleh SELENA TAY |
Perhimpunan Agung MCA baru sahaja diadakan pada 20hb dan 21hb Oktober 2012 yang lalu. Dalam ucapannya semasa Perhimpunan tersebut diadakan, Presiden MCA, Chua Soi Lek telah membuat kenyataan memperlekehkan Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kenyataan Chua Soi Lek juga menghina Hudud dan sekaligus menghina Islam. Kelakuan Chua yang melampaui batas ini seolah-olah telah direstui oleh para pemimpin Umno yang semuanya diam membisu sahaja.
Adakah pimpinan Perdana Menteri Najib Tun Razak begitu lemah sekali yang telah mengakibatkan Presiden MCA itu berani menunjukkan belangnya? Mengapa dan kenapa boleh jadi sampai begini?
Adakah kerana BN begitu terdesak sekali untuk meraih sokongan pengundi Cina dan oleh itu Chua Soi Lek dibenarkan bermaharajalela tanpa diberi sebarang teguran oleh Umno? Mana suara Umno dalam hal ini?
Hakikatnya ialah PM Najib masih berada dalam sindrom penafian dan enggan menerima hakikat bahawa masyarakat Cina sudah menolak BN. Justeru itu, beliau patut menegur Chua Soi Lek dengan memberi Chua satu amaran yang serius supaya Chua jangan berkelakuan melampaui batas dalam usaha meraih sokongan pengundi Cina. Tetapi sehingga kini, PM Najib diam sahaja.
Masyarakat Melayu mestilah jangan lupa bahawa Chua Soi Lek seringkali mengeluarkan kenyataan bahawa negara Islam adalah mundur.
Presiden MCA ini juga pernah menghina perayaan Hari Raya Aidil Fitri pada tahun 2010 dengan bertanya mengapakah kedai-kedai dan premis-premis perniagaan di Kota Bharu, Kelantan ditutup pada hari pertama perayaan tersebut.
Chua juga pernah perli calon PAS, Normala Sudirman yang enggan berjabat tangan dengan kaum lelaki semasa kempen Pilihanraya Kecil di Tenang pada Januari tahun lalu.
Memang kelakuan Chua Soi Lek sudah keterlaluan tetapi telah diberi muka oleh para pemimpin Umno.
Oleh itu, penulis mengesa masyarakat Melayu terutamanya ahli-ahli Umno supaya beramai-ramai menyertai PAS untuk memperkukuhkan perjuangan Islam serta mengembalikan martabat agama Islam.
Janganlah tunduk kepada Chua Soi Lek atau membiarkan Chua atau pemimpin MCA yang lain menyindir Islam saban hari dengan sewenang-wenangnya.
Masyarakat Cina kini pun sudah tolak MCA dan menyokong PAS. Masyarakat Melayu pula ada ramai lagi yang masih menyokong MCA. Memang amat pelik perkara macam ini! Bila pula masyarakat Melayu akan tolak MCA dan Umno yang tidak berani menegur MCA?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan