Kementerian Kesihatan sedang dalam peringkat akhir perbincangan dan kajian mengenai usaha bagi memastikan jururawat lulusan kolej swasta yang masih menganggur mendapat pekerjaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perdana Menteri supaya graduan jururawat kolej swasta yang menganggur dapat diserapkan dalam Skim Latihan 1Malaysia agar kemahiran mereka dapat ditingkatkan di samping memberi pendedahan yang lebih luas kepada mereka.

"Saya nak tekankan semua jururawat perlu menduduki peperiksaan Lembaga Jururawat di mana kualitinya dijamin. Apabila mereka lulus maka mereka memenuhi kualiti.

"Masalahnya mereka tidak berpengalaman dan tiada pendedahan klinikal yang mencukupi," katanya kepada pemberita selepas bertemu masyarakat Cina di Tringkap di Cameron Highlands semalam.

Oleh yang demikian katanya, peranan hospital swasta turut diperlukan untuk memberi pendedahan dan peluang serta mengambil mereka bekerja.

Beliau berkata selain itu kajian mengenai cadangan pemberian insentif kepada mana-mana hospital swasta yang menggaji graduan jururawat swasta yang telah lulus dalam peperiksaan Lembaga Jururawat turut dijalankan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas masalah pengangguran di kalangan jururawat lulusan kolej swasta dan keengganan hospital swasta mengambil mereka bekerja kerana dikatakan tidak menepati standard.

Pada 8 Oktober lepas, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan ketika ini kira-kira 8,000 lulusan kolej kejururawatan menganggur.

Sehubungan itu, katanya kementeriannya dan Kementerian Kesihatan akan berbincang untuk mencari penyelesaian menyeluruh supaya wujud keseimbangan antara jumlah lulusan kejururawatan yang dikeluarkan dan keperluan yang ada.

Liow berkata perkhidmatan jururawat sememangnya sangat diperlukan sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta, bagaimanapun hospital swasta tidak mahu mengambil graduan jururawat swasta kerana dikatakan mereka tidak berpengalaman dan ia kini turut menjadi satu masalah.

Beliau berkata jururawat di negara ini mempunyai standard yang berkualiti dan diterima pakai di seluruh dunia di mana banyak jururawat dari Malaysia berkhidmat di Singapura dan Timur Tengah.

Katanya negara masih kekurangan jururawat sama ada di perkhidmatan kerajaan mahupun swasta.- Bernama