SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengesan gerakan
Al-Qaeda di negara ini berdasarkan pemantauan risikannya, kata Pengarah
Jabatan Petugas Khas dan Anti Pengganas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi
Harun.
"Sehingga kini, PDRM tidak menerima sebarang maklumat tentang gerakan
Al-Qaeda di sini, namun tidak menolak kemungkinan ada aktiviti merekrut
rakyat tempatan untuk menganggotai kumpulan itu di negara jiran,"
katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.
Beliau diminta mengulas penahanan rakyat Malaysia Rafik Mohammed
Ariffin, 28, dan Mohammed Razin Shaaban, 21, oleh pihak berkuasa Lubnan
di sebuah hotel di Beirut minggu lepas kerana dipercayai mempunyai
kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.
Tribunal Tentera di Beirut hari ini mengarahkan dua rakyat Malaysia itu
mengambil peguam untuk mewakili mereka dan kes mereka akan disebut
semula Rabu ini.
Sementara itu, ayah Rafik, Mohammed Ariffin Abdullah ketika dihubungi
berkata beliau masih menunggu maklumat lanjut berhubung penahanan
anaknya.
"Saya harap semua dapat memberikan saya sedikit ruang bagi mengikuti proses tuduhan ke atas anak saya.
"Buat masa ini, saya tidak dapat mengulas tentang dakwaan terhadap Rafik," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, ibu Mohammed Razin yang hanya mahu dikenali sebagai
Sharifah Asma berkata, dia tidak tahu bagaimana anaknya boleh ditahan
atas kesalahan menganggotai kumpulan Al-Qaeda.
Sharifah Asma berkata, Mohammed Razin tinggal di Melaka dan menuntut di
sebuah kolej di Trolak, Perak manakala beliau dan suaminya di
Putrajaya.
"Saya sering berhubung dengan anak saya tetapi kami tidak mengetahui
tentang pemergiannya ke Lubnan dan pembabitan beliau dalam kumpulan
itu," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan