SHAH ALAM: Presiden Institut Penyelidikan Strategik Islam (ISSI) Dr Yusri Mohamad berpendapat konflik yang tercetus sejak sekian lama antara Umno dan PAS berhubung isu hudud kini dilihat semakin lenyap.
Malah, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya kesepakatan antara pemimpin kedua-dua parti itu dalam usaha menangani isu tersebut secara rasional.
"Saya tengok Alhamdulillah hari ini di negara kita baik pihak Umno atau pihak PAS pun sudah boleh kata hampir mempunyai pandangan yang sama tentang hudud ini kalau dahulu mungkin PAS yang sering (bangkitkkan) tapi hari ini PAS pun juga mula tidak terlalu menekankan tentang (hukum hudud).
"Mungkin isu ini pun dah makin tidak menjadi sesuatu isu yang terlalu besar, sudah makin ada satu kesepakatan bahawa hudud ini bukan perlu dijadikan retorik politik yang tidak dikawal perbahasannya tetapi harus ditangani secara lebih tenang, lebih jujur dan bukannya secara sentimen," katanya di program khas 'Maqasid - Prasarana Kondusif Dalam Sesebuah Negara Islam' anjuran Antarapos baru-baru ini.
Dalam sesi temubual berlangsung selama sejam itu, Yusri menegaskan mana-mana pihak yang ingin membuat sebarang kenyataan atau pandangan berkenaan hukum hudud supaya memperhalusi dan meneliti setiap aspek kehidupan.
"Bagi saya berpada-pada dengan pandangan kita. Kita harus letakan sesetuatu pada tempatnya, kalau kita lihat kembali pada takrif negara Islam, adakah takrif negara Islam itu pelaksanaan hukum hudud diletakkan pra syarat yang utama yang hendak dilaksana, saya yakin bahawa ini bukan pandangan para ilmuan bukannya elemen penentu.
"Sebab kita tahu hudud adalah hanya satu aspek daripada undang-undang Islam itu secara keseluruhannya dan hudud juga adalah merujuk kepada aspek jenayah sahaja. Adakah kehidupan kita yang luas ini kita hendak sempitkan hanya dengan perbincangan aspek jenayah? Bagaimana pula tentang (aspek) pembangunan, ekonomi, pendidikan itu yang lebih melibatkan hampir semua orang, adapun jenayah ini melibatkan berapa peratus dari segi anggota masyarakat."
Selain itu, beliau menjelaskan walaupun hukum hudud ini merupakan hukum sedia ada dalam Al-Quran tetapi ia perlu mengambil kira persiapan termasuk penjelasan menyeluruh kepada umum sebelum ianya dilaksanakan lebih-lebih lagi negara Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.
"Kita tak kata kewajipan itu tidak ada tetapi kita juga harus mengakui bahawa sarjana (ilmu) telah membahaskan hendak melaksanakan hukum hudud ini ada syarat-syaratnya melibatkan situasinya dengan perlu ada persiapan-persiapannya, perlu dididik disedarkan dan diberi maklum kepada masyarakat dan sebagainya.
"Contoh yang sangat masyhur dalam sejarah bagaimana Saidina Umar Al-Khattab boleh mengambil polisi keputusan pada zamannya untuk menghentikan atau menggantung pelaksanaan hukum hudud tertentu, khususnya hukum potong tangan dalam kes mencuri ketika zamannya kerana (beliau) mendapati ketika itu berlaku tahun-tahun yang susah seperti kebuluran, kemiskinan menyebabkan sesetengah manusia itu terdorong untuk mencuri untuk terus hidup," jelasnya.
Yusri berkata, faktor sedemikian rupa jelas mempengaruhi pelaksanaan hukum hudud memandangkan ia tidak terikat dengan syarat dan bergantung kepada situasi dilihat merupakan satu aspek yang bukannya perkara paling besar dalam pentadbiran dan negara.
"Jadi kalau begitu, kita harus berlapang dada lah dan bagi saya tidak wajar untuk hukum hudud ini dijadikan seolah-olah isu paling besar kalau kita nak cakap negara Islam atau Islam atau tidak sesebuah negara," ujarnya.
"Persiapkan prasarana dan sebagainya, bukannya kita tak nak buat itu hukum yang sedia ada dalam Al-Quran perlu ada keazaman semua pihak untuk melaksanakannya dan hukum tersebut adalah hukum yang kita beriman kepadanya. Tak perlu secara kita gembar-gemburkannya, tak perlu menjadi satu topik atau punca pertelingkahan sesama kita, kita duduk bersama, fikirkan bersama dan cuba laksanakan bersama, Insyallah," ujarnya.
PAS tetap dengan pendirian untuk mempertimbangkang pelaksanaan hukum hudud sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mendapat mandat Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), namun ditentang komponen gabungan itu sendiri.
DAP menerusi tiga pemimpin utama Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng secara konsisten membantah pelaksanaan hukum itu
Kenyataan komponen Barisan Nasional (BN) MCA baru-baru ini itu turut mencetuskan reaksi negatif pelbagai pihak termasuk Umno.
Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan parti itu bulan ini berkata sejumlah RM1.5 juta rakyat di negara ini akan kehilangan punca pendapatan sekiranya hudud dilaksanakan.
Naib Pengerusi Wanita MCA Heng Seai Kei dalam pada itu mendakwa Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menggalakkan kaum lelaki untuk merogol wanita yang tidak menutup aurat yang turut dikaitkan dengan hudud.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan