HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Oktober 2012

Kondo Batu Caves: S'gor perlu dedah cerita sebenar

Harakahdaily,


(Himpunan bantahan pembinaan kondo sebelah kuil di Batu Caves - gambar TMI)

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa kerajaan Selangor mendedahkan sahaja pihak yang meluluskan projek Kondominium Dolomite Park Avenue, Batu Caves, Selangor.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, tindakan itu penting supaya kerajaan Pakatan Rakyat tidak dipersalahkan ekoran projek tersebut kerana ia pastinya akan menjejaskan  sokongan rakyat khususnya pengundi India.

"Kerajaan Selangor juga perlu memberikan penjelasan di sebalik kelulusan projek tersebut supaya masing-masing faham cerita di sebaliknya," katanya.

Isu pembinaan kondo di sebelah Batu Caves yang menjadi pusat ibadat penganut beragama Hindu telah menjadi isu agama dan perkauman.

Baru-baru jawatankuasa kuil yang dikunjungi ratusan ribu orang setahun itu mengadakan bantahan beramai-ramai dengan diketuai sendiri bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu telah mendedahkan bahawa kelulusan projek itu dibuat pada 2007 iaitu sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negeri itu daripada BN pada 2008.

Beliau juga turut menamakan dua individu iaitu bekas ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang kini menjadi wakil rakyat BN, yang didakwa terlibat dalam meluluskan projek itu.

Bagaimanapun kedua-duanya telah manafikannya atas alasan beliau bukan lagi ahli majlis MPS ketika projek itu diluluskan.

Malah sebelum ini BN turut menuduh kelulusan projek itu dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

MPS sangkal


Bagaimanapun semalam, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Datuk Zainal Abidin Aala menyangkal tuduhan itu dengan berkata ianya diluluskan pada tahun 2007 iaitu pada zaman BN memerintah negeri ini.

Kebenaran Merancang yang diluluskan pada 30 November 2007 katanya adalah kunci kepada segala pembinaan yang diberikan oleh mana-mana pihak majlis.

“Projek ini melibatkan dua fasa, kedua-duanya diberikan semasa 2007 dan pembinaan lot kedai yang sudah siap itu adalah fasa pertama.

“Fasa kedua adalah pembinaan kondo tersebut,” kata beliau.

Zainal Abidin juga mendedahkan projek itu telah diluluskan oleh Jabatan Mineral Dan Geo-Sains (JMG) pada ketika zaman pemimpin Barisan Nasional lalu, namun pihak Jabatan Alam Sekitar, dalam laporan awalnya, tidak menyokong pembinaan projek oleh pemaju Dolomits Properties Sdn Bhd.

“Projek ini telah mendapat kelulusan oleh JMG tetapi dalam laporan tersebut pihak Alam Sekitar tidak menyokong dalam pembinaan yang dirancang tersebut,” kata Zainal Abidin tanpa menyatakan sebab pihak JAS tidak menyokong.

Mengulas Langkah seterusnya yang akan diambil oleh MPS bagi menangani isu yang timbul ini, Zainal Abidin menyatakan MPS  akan membawa isu ini ke Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) untuk memutuskan tindakan susulan.

JK siasatan

Sementara itu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam turut mengumumkan penubuhan pasukan khas untuk menyiasat isu tersebut.

Jawatankuasa khas itu katanya akan diketuai seorang bekas hakim manakala anggotanya pula dari mereka yang berpengalaman dalam bidang perancangan, peguam dan mereka yang mempunyai kaitan dalam bidang industri pembinaan.

Ekoran itu juga katanya, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan menghentikan sementara pembinaan kondo 29 tingkat tersebut.

Tiada ulasan: