SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa
berbohong dan memberikan fakta salah serta gemar menuding jari kepada
Barisan Nasional (BN) untuk segala permasalahan kerajaan negeri pimpinan
beliau, kata Dr Mohamad Khir Toyo.
Mantan MB Selangor itu berkata kes terbaru di mana kerajaan negeri mahu
mengambil semula tanah 16 ekar yang diberikan kepada Yayasan Selangor
hanya menyerlahkan kepimpinan Khalid yang tidak mengutamakan kebajikan
penduduk negeri.
“Beliau tidak pentingkan kebajikan Yayasan Selangor bila dia keputusan
mahu bina pusat kebudayaan Cina Selangor. Tidak sesuai. Dulu kita sudah
tetapkan pusat kebudayaan itu akan dibina ditempat lain. Kita tahu
keutamaan kita di mana,” kata Khir kepada Antarapos.
Beliau juga menegaskan kerajaan negeri seharusnya membantu mencari
rakan usahaniaga baru untuk Yayasan Selangor membangunkan tanah 16 ekar
itu di Klang, bukannya memaksa untuk menyerah balik tanah tersebut.
“Kalau benar kerjasama (dengan Persada Istimewa Sdn Bhd) itu rugi,
patutnya cari syarikat lain untuk buat kerjasama atau syarikat yang sama
dan tukar terma-terma perjanjian sahaja," kata beliau.
Awal minggu lalu, Khalid mendakwa tanah bernilai RM50 juta itu sudah
dijual oleh Yayasan Selangor kepada syarikat Cina, justeru kerajaan
negeri mahu mengambil tanah itu balik daripada pihak Yayasan.
Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki menjelaskan tanah itu
masih milik Yayasan dan kenyataan Khalid itu mungkin disalah lapor oleh
media.
Beliau mendakwa Yayasan tidak dapat membangunkan tanah itu kerana rakan
usahasama Persada Istimewa hanya menjanjikan pulangan RM10 juta kepada
pihaknya untuk projek komersil itu.
Khalid mengarahkan tanah itu diserahkan semula susulan permohonan Exco
Kerajan Negeri Elizabeth Wong yang mahukan tapak itu dibangunkan untuk
Pusat Kebudayaan Cina Selangor.
Khir berkata tangan Ilham terikat dalam mempertahankan kepentingan Yayasan yang terletak di bawah bidang kuasa Khalid.
"Saya kesian dengan Yayasan Selangor yang kini dalam keadaan tertekan.
Akhirnya (kemelut ini) memberi kesan kepada Yayasan Selangor dalam
menyediakan dana untuk pembiayaan pendidikan anak-anak Selangor,"
"Beliau (Ilham) tiada hak bersuara dalam hal ini dan Menteri Besar
punya pandangan yang berbeza. Dia tidak pentingkan kebajikan Yayasan
Selangor tetapi perniagaan semata.
"Khalid bukannya nak tambah kekuatan Yayasan Selangor. Tapi sebaliknya
ambil balik tanah yang kami berikan untuk tolong Yayasan jana dana untuk
memberikan pendidikan sempurna kepada anak-anak miskin di Selangor,"
kata Khir.
Khir berkata beliau tidak terkejut dengan dakwaan Khalid bahawa Yayasan Selangor menjual tanah kepada syarikat Cina.
“Dia (Khalid) ini sebenarnya suka berbohong. Dia tidak mendapat
informasi yang tepat sebelum dia bercakap. Itu masalah dia. Contoh dia
pernah kata dulu ada pakej ekonomi 50 bilion di Selangor. Malah dia hina
kerajaan persekutuan yang hanya ada pakej RM20 bilion sahaja. Tapi
sampai sekarang saya tidak nampak pun pakej RM50 bilion itu,” kata
beliau.
"Dulu dia kata Unisel tidak rugi. Dia dakwa audit Unisel tidak betul.
Tapi bila audit negara keluar, ternyata Unisel rugi," tambah beliau.
Khir berkata kerajaan negeri sepatutnya menangani isu tanah Yayasan
Selangor secara berhemah dan bukan merampasnya dengan sewenang-wenang.
"Kalau saya jadi Menteri Besar, saya akan panggil Jabatan Penilaian dan
Perkhidmatan Harta dan syarikat penilai swasta, untuk nilai semula
tanah itu. Kalau betul tanah itu nilainya tinggi, batalkan perjanjian
itu dan ambil tindakan kepada selanjutnya.
“Walaupun tanah itu milik Yayasan Selangor dan yayasan itu berada di
bawah kerajaan negeri, kita tidak boleh senang-senang ambil tanah itu.
Kita kena buat yang terbaik untuk Yayasan Selangor," kata Khir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan