SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan mendesak
Ronnie Liu supaya memohon maaf secara terbuka berikutan dakwaan exco
kerajaan negeri Selangor itu yang mengaitkan beliau dengan projek
pembinaan kondominium 29 tingkat di Batu Caves.
Kamalanathan menyifatkan dakwaan Liu bahawa beliau dan Pengerusi
Gerakan Selangor Senator A.Kohilan Pillay adalah antara anggota Majlis
Perbandaran Selayang (MPS) yang meluluskan cadangan projek berhampiran
kuil di Batu Caves itu sebagai satu pembohongan.
"Saya menjadi anggota MPS dari 2004 hingga 2006. Projek itu diluluskan
pada September 2007, namun ketika itu saya tidak lagi menjadi anggota
MPS dan tidak mempunyai hak untuk mengambil keputusan atau mengambil
bahagian dalam apa jua keputusan MPS ketika itu," katanya kepada
pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Kamalanathan mengulas kenyataan Liu baru-baru ini bahawa beliau dan
Kohilan, yang juga Timbalan Menteri Luar, adalah antara individu yang
bertanggungjawab meluluskan cadangan projek itu.
"Ronnie Liu membuat kenyataan itu semasa saya menghadiri persidangan
Parlimen Asean di Bangkok, Thailand. Berikutan itu, pegawai saya telah
membuat laporan polis mengenai kenyataan berunsur fitnah berkenaan pada
24 Okt lepas di Balai Polis Brickfields supaya polis melakukan
siasatan," katanya.
Beliau berkata Liu hanya mahu mencemar nama baiknya dan Kohilan untuk
mendapat keuntungan politik semata-mata tanpa menyelidik fakta berhubung
perkara itu.
Pada 26 Okt lepas, Kohilan dilaporkan berkata segala kelulusan projek
itu dikeluarkan kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat melalui
Exco Kerajaan Tempatan Ronnie Liu pada 26 Jun 2008.
Barisan Nasional kalah di Selangor pada pilihan raya umum tahun yang sama.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan