HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Oktober 2012

Jangan hantar kaset lawan ceramah Pakatan

Abdul Aziz Mustafa,
KUALA LUMPUR: Jangan hantar kaset, hantarlah penceramah yang berkemampuan untuk melawan ceramah Pakatan Rakyat (PR), kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Sambil menyelar tindakan Umno Barisan Nasional (BN) yang memasang kaset melalui pembesar suara untuk mengganggu ceramahnya semalam, beliau menyifatkan tindakan itu membuktikan betapa betapa terdesaknya Umno untuk menentang kebangkitan dan kesedaran rakyat di Johor.

"Umno dah 'desperate' sangat dah. Nak datang ceramah sendiri tak berani berhadapan dengan rakyat, mereka pasang kaset kuat-kuat mengganggu ceramah kita," katanya.

Dalam ceramah di Seri Alam dalam kawasan Parlimen Pasir Gudang sempena musim Aidil Adha itu, Umno menggunakan taktik terbaru mereka untuk mengganggu ceramah PR.

Menurut laporan, taktik memasang kaset ceramah mereka untuk mengganggu ceramah PR itu telah beberapa kali digunakan oleh Umno sebelum ini di beberapa tempat di seluruh negara.

"Lebih buruk lagi kaset yang dipasang untuk mengganggu ceramah kita itu ialah ceramah yang mengapi-apikan perkauman yang nampak benar untuk memecahbelahkan rakyat yang datang mendengar ceramah kita itu.

"Tetapi mereka bukan sahaja gagal malah menambahkan lagi kebencian rakyat kepada mereka," kata Salahuddin.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, kira-kira 2,000 orang menghadiri ceramah itu.

"Melayu dan Cina sama banyak dan itulah yang sangat membimbangkan Umno.

"Umno tentulah sangat sakit hati kerana mereka berharap orang-orang Melayu tidak datang ke ceramah kita.

"Maklumlah, undi Melayu adalah harapan utama mereka," katanya.

Oleh kerana Umno terlalu mengharapkan undi Melayu untuk mengekalkan kuasanya, Salahuddin memberitahu, pihaknya menyusun lebih banyak lagi gerak kerja untuk mendapatkan sebanyak-banyak undi Melayu.

"Bukan sahaja di Johor yang kini menjadi inspirasi kebangkitan rakyat di seluruh negara, malah gerak kerja untuk mendapatkan sebanyak-banyak undi Melayu kita perhebatkan di seluruh negara.

"Berita buruk untuk Umno ialah kita terus melipatgandakan usaha kita walaupun di negeri-negeri yang menjadi kubu tradisi kita bagi undi Melayu seperti Kelantan dan Kedah," kata Salahuddin.

PAS tidak pernah berehat untuk memenuhi aspirasi rakyat yang mahu kuasa Umno BN ditamatkan, tegas beliau lagi.

Tiada ulasan: