HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Oktober 2012

Isu Kondominium Batu Caves, Kerajaan Negeri Arah MPS Rujuk SPC




SHAH ALAM : Kontroversi pembinaan kondominium 29 tingkat di Batu Caves, Kerajaan Negeri mengarahkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merujuk isu tersebut ke Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC) bagi tindakan lanjut.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu ketika dihubungi berkata, SPC akan melakukan kajian terperinci yang dijangka mengambil masa kira-kira sebulan untuk dilaksanakan.

Beliau berkata, sekiranya kajian menunjukkan bahawa kesan buruk akan berlaku jika projek itu diteruskan, maka pembinaannya akan dihentikan serta-merta.

“Jika kajian ini mendapati kesan buruk akan berlaku apabila pembinaan ini diteruskan, maka kelulusan “Kebenaran Merancang” akan terbatal. Kerajaan Negeri juga tidak akan dibebani dengan perlu membayar pampasan,” katanya.

Projek Dolomite Park Avenue oleh pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd di Batu Caves ini dianggap sebagai sensitif memandangkan kawasan tersebut merupakan tumpuan masyarakat Hindu beribadat dan meliputi sejumlah 170,0000 kaum India yang merupakan kumpulan utama pengundi di kawasan bandar Selangor.

Pembinaan kondominium yang dirancang sejak 2007 itu mula menerima bantahan daripada pihak jawatankuasa kuil.

Ekoran itu, ratusan penganut agama Hindu dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO) menyertai himpunan di perkarangan Batu Caves baru-baru ini bagi menyatakan bantahan ke atas pembinaan kondo tersebut yang dikatakan akan memberi ancaman kepada alam semulajadi bukit itu.

Sementara itu, ketika mengulas dakwaan pemimpin Gerakan, Senator A Kohilan Pillay yang mengatakan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) bertanggungjawab meluluskan projek kondo tersebut, Ronnie menegaskan ia sama sekali tidak berasas.

Beliau menyifatkan penjelasan oleh Kohilan itu sebagai satu pembohongan kerana bekas ahli majlis MPS itu berlakon tidak tahu tentang projek kondo berkenaan.

“Penjelasan oleh Kohilan mengatakan ‘kebenaran merancang’ adalah bukan kelulusan melaksanakan sama sekali mengarut. Mana ada perkara kelulusan melaksanakan seperti yang dikatakan oleh Kohilan.

‘Kebenaran merancang’ adalah kelulusan kepada pemaju untuk membina projek tersebut.

“Mana boleh dia tidak tahu? Mana boleh dia kata pemaju hanya mengatakan akan membina lot kedai sahaja di sini. Saya ada pelan yang dengan jelas menyatakan tentang pembinaan kondo,” katanya lagi.

Dalam sidang media kelmarin, Ronnie mendedahkan dokumen lengkap ‘kebenaran merancang’ yang diluluskan pada 30 November 2007 selepas persidangan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC).
Selain itu, turut disertakan bersama kelulusan tersebut ialah pelan pembinaan termasuk lokasi lot kedai dan kondo oleh pemaju yang dikemukakan kepada pihak MPS.

Tiada ulasan: