HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Oktober 2012

Kes curi air: Syabas rugi RM6 juta

fmt 
 
Nilai kerugian itu mencatatkan peningkatan kira-kira RM1 juta, berbanding tahun lepas. 



KLANG: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerugian RM6.05 juta membabitkan 606 kes curi air sejak Januari hingga Oktober tahun ini dengan majoritinya melibatkan pengusaha kilang dan tapak pembinaan.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata nilai kerugian itu mencatatkan peningkatan kira-kira RM1 juta, berbanding tahun lepas.

“Mengikut rekod sejak Januari lalu, Syabas menerima 2,972 aduan berhubung kes curi air dan semua aduan itu telah disiasat sebelum tindakan susulan operasi pemotongan dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas operasi serbuan dan operasi pemotongan sambungan paip haram di lot perniagaan milik sebuah koperasi di Pekan Meru di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata 154 kes telah dirujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tindakan pendakwaan.

Mengenai operasi hari ini, Priscilla berkata Syabas mengesan sebuah lot perniagaan menempatkan tujuh premis perniagaan restoran, baju terpakai, kedai makanan ringan dan pusat cuci kereta yang didapati melakukan penyambungan haram menggunakan paip poly bersaiz 25 milimeter dari paip utama Syabas.

“Kita dapati premis di lot perniagaan itu menggunakan 102.8 meter padu air sehari dan mereka akan tutup saliran utama dari penyambungan haram apabila air di tangki simpanan penuh,” kata Priscilla.

Priscilla berkata berdasarkan rekod, koperasi berkenaan mempunyai akaun dengan Syabas sebelum ini dan ditamatkan pada Januari 2011 selepas gagal melangsaikan bil tertunggak berjumlah RM1,248.

Beliau berkata ujian turut mendapati air dari paip berkenaan bertukar kepada warna merah jambu menandakan air yang dicuri adalah air terawat dari saluran Syabas.

Tegas beliau, perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan berlaku gangguan bekalan air serta kadar kehilangan Air Tak Berhasil (NRW) yang tinggi di kawasan itu.

Menurutnya koperasi itu boleh dikenakan penalti mengikut Seksyen 123 (3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 kerana membuat sambungan haram yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM100,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.- Bernama

Tiada ulasan: