HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Oktober 2012

Projek “Feed-in Tariff” SEDA, syarikat “kosong” dapat tender?

 Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Penganugerahan projek menguruskan perlaksanaan mekanisme “Feed-in Tariff” (FiT) bawah Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 kepada banyak syarikat yang tidak layak dan dikaitkan dengan anak  mantan Ketua Setiausaha Negara Malaysia Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah menimbulkan banyak tandatanya.

Seperti yang umum telah ketahui, 32.4 peratus daripada jumlah 139MW telah diperuntukkan kepada 12 syarikat yang dimiliki oleh Suzi Suliana Mohd Sidek dan suaminya Todd Michael Morath, dan dua lagi pemilik saham bersama biarpun tidak memenuhi syarat kelayakan.

“Jawapan Menteri Dato’ Seri Peter Chin Fah Kui jelas menunjukkan bahawa pihak pengurusan SEDA telah campur tangan dalam proses penawaran yang membolehkan syarikat-syarikat kosong yang dimiliki oleh Suzi Suliana dapat quota yang begitu besar,”

Demikian kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) pada 30 Oktober 2012 semalam.

Menurut menteri, memandangkan hampir kesemua syarikat tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan, pihak kementerian mengaku bahawa syarat kemampuan kewangan berjumlah sekurang-kurangnya 20 peratus daripada kos pelaburan projek tersebut telah dilonggarkan.

Jelas Pua, menteri tersebut beralasan bahawa kebanyakan syarikat yang memohon untuk mendapatkan kuota Tenaga Boleh Baharu telah menubuhkan syarikat Special Purpose Vehicle (SPV). Pada masa proses penubuhan syarikat-syarikat SPV ini, mereka tidak dapat mengemukakan penyata bank dengan nilai kredit minima 20 peratus.”

“Kalau pun tawaran dibuat sebelum kemampuan dibuktikan, syarikat SPV boleh disyaratkan untuk membuktikan kemampuan dalam jangaka masa 30 hari tetapi ia tidak dilakukan,

“Syarikat-syarikat ini perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM100,000 ‘paid-up capital’ dan sehingga kini majoriti daripada syarikat-syarikat tersebut masih belum mendapat lesen daripada Suruhanjaya Tenaga,” kata Pua.

Beliau mahu menteri berkenaan memberikan penjelasan mengapa tindakan keras tidak diambil terhadap syarikat-syarikat Suzi Suliana walaupun tidak berjaya mematuhi syarat.

Sebelum ini, kita dikejutkan dengan pembongkaran Pua bahawa  8 daripada 12 syarikat yang berjaya dianugerahkan tender tersebut hanya ditubuhkan 3 minggu sebelum tarikh quota malah hampir kesemua syarikat ini hanya mempunyai modal berbayar RM100 sahaja.

Beliau juga menuntut agar pihak kementerian memberikan laporan kemaskini terkini untuk kuota yang telah diluluskan bagi setengah tahun penghujung tahun 2012.

“Kita ingin tahu iaitu berapa MW daripada 30.24MW yang telah diluluskan akan dikomisien dalam jangka masa yang ditetapkan.” ujar Pua. – Roketkini.com

Tiada ulasan: