Raya Aidiada tahun ini tidak ada berita pelik kendengaran seperti lembu yang hendak dikorbankan terlucut atau putus tali, orang yang hendak rebahkan lembu kena tanduk sampai sampai terburai tali perut dan sebagainya, tidak kedengaran dan dilaporkan. Di Kelantan semua cerita berkisar kepada masalah jam dan terperangkap dalam 'hutan cerang' di Pahang. Bukalah Fb atau blog peribadi cerita itu akan menghiasi wall-wall Fb.
Nada yang diluahkan nada kesal dan marah, geram dan hairan. Hanya mereka yang membenci Kelantan dan suka melihat rakyat Kelantan terus bergelut dengan ketidakadilan saja, melihat segala itu dengan senyum sinis dan di dalam hati berkata, padan muka, padan muka.
Sebahagian kereta yang berpatah balik dari Padang Tengku ke Lipis. |
Cerita kesesakan jalan raya dan masa diambil berbelas-belas jam untuk sampai ke kampung halaman di musim perayaan sudah menjadi cerita tradisi. Setiap kali raya kejadian ini sudah tidak dapat dielakkan. Bezanya sama ada jam itu 'gila' atau jam 'tolol' saja, jam tetap jam. Jam gila bermakna jam luar biasa, jam tolol adalah jam biasa. Rasanya semua sudah tahu kenapa sebab musababnya berlaku demikian.
Sebenarnya kesesakan semasa raya bukan saja berlaku di Kelantan, tetapi ia berlaku juga di negeri-negeri lain. Bila banyak kereta masuk - pulang ke kampung, maka berlakulah kesesakan jalan raya. Dua faktor utama, kenapa berlaku demikian, pertama jalan-jalan di kampung sempit, kedua kerana tiada pengawal lalu lintas. Tambah pula dengan adanya seeekor dua pemandu yang mabuk todi dan telan pil kuda belang. Selalu kemalangan dalam suasana begini berlaku disebabkan ada dua jenis pemandu ini.
Faktor pertama, jalan sempit bagaimana pun merupakan masalah utama. Apabila dirujuk kepada masalah berlaku di Kelantan, dan memang Kelantan mengalami masalah ini sudah sampai ke tahap kritikal, ialah kerana tidak ada lebuh raya, ataupun rata-rata jalan di Kelantan masih bersaiz lama, baik sedikit semasa zaman Jepun. Jarang jalan ada empat lorong, kebanyakan hanya dua lorong sahaja.
Sebelum saya menyebut Kelantan, apa juga yang perlu difahamkan kesesakan yang dialami rakyat Kelantan untuk pulang ke ngeri mereka bukan seratus peratus disebabkan jalan raya di negeri itu. Tetapi ia bermula di negeri Pahang lagi. Jalan menghubungkan Kelantan melalui Pahang, Raub, Kuala Lipis dan Merampuh sebenarnya menyumbangkan kesesakan kepada pengguna di Kelantan. Adalah tidak benar kalau bersoal jawab mengenai kesesakan jalan raya di musim raya, disalahkan kepada jalan sempit di Kelantan. Rasanya tanggapan begitu lebih kepada elemen politik?
Jalan dari Raub hingga ke Kuala Lipis elok dan lebar tetapi mulai di Padang Tengku ke Merapuh untuk masuk ke Gua Musang jalan sempit dan kurang sempurna. Jalan inilah yang menyumbangkan kesesakan apabila pergerakan yang lancar dari Raub hingga Lipis tiba-tiba 'bersumbat' di Padang Tengku. Aliran trafik akan menjadi perlahan lagi apabila sampai di Kecau hinggalah ke Bukit Tujuh.
Di sinilah kalau berlaku sedikit saja kemalangan dan sebelah jalan ditutup, maka akan berlaku kesumbatan dan jam gila. Ertinya kalau mahu melancarkan pergerakan ke Kelantan jalan-jalan ini dulu, bermula dari Padang Tengku sampai ke Merapuh hendak diperbesarkan. Jalan di sepanjang naik turun Bukit Tujuh sudah pasti kena disempurnakan lengkap dengan jaminan keselamatan. Statistik maut yang berlaku di sini sudah sampai masanya untuk diambil tindakan bukan dijadikan maklumat semata-mata.
Kini sebahagian jalan-jalan itu iaini di sebelah depan Bukit Tujuh (dari Kuala Lumpur) sedang dalam pembinaan. Apabila jalan itu siap kesesakan akan berkurangan, bagaimana pun kesesakan tetap juga akan berlaku selagi jalan dari Padang Tungku ke Bukit Tujuh tidak dibina.
Sementara di Kelantan, jalan dari Gua Musang ke Kuala Krai tidak ada masalah. Walaupun jalan itu bukan bertaraf lebuh raya tetapi keadaan jalannya yang lurus boleh mengalirkan trafik dengan baik. Kesumbatan hanya bermula di Kuala Krai untuk menuju ke Kota Bharu. Kesesakan juga boleh dielak sekiranya ada arahan kepada pengguna supaya mengambil jalan alternatif misalnya dari Gua Musang menerusi Jeribung untuk ke Jeli bagi mereka yang ingin pulang ke Rantau Panjang, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat.
Begitu pun permasalahan ini sudah pun dikenali pasti oleh JKR dan pihak berkuasa kerajaan baik tempatan dan negeri. Mereka lebih arif dan pakar. Jadi saya tidak perlu menghuraikan berhubung perkara itu. Tidak ada guna mengajak itik yang sudah pandai berenang.
Apa yang hendak disebut ialah mengenai keperluan Lebuh Raya Kuala Krai ke Kota Bharu. Sepatutnya sudah lama lebuh raya menghubungkan dua bandar ini wujud. Bukan hari ini tetapi sejak tahun 70-an lagi. Tetapi malang kerana sikap dan sifat orang politik di Kelantan yang kurang bijak dan terlebih emosi menyebabkan lebuh raya berkenaan tidak wujud sampai ke hari ini. Kalau ada lebuh raya di sini kesesakan teruk di sepajang jalan Kuala Krai - Kota Bharu tidak akan berlaku.
Bila menyebut ini saya hairan, mungkin orang lain juga hairan kenapa tidak bina lebuh raya berkenaan. Sekali lagi saya tidak mahu bercakap soal ini. Bagi saya ketiadaan lebuh raya ini bukan kerana apa melainkan kerana 'dedel'nya orang politik Kelantan baik Umno maupun Pas. Menghairankan saya mereka tidak boleh bersatu demi untuk kebaikan rakyat Kelantan. Mereka sanggup 'bercekah belah' untuk mendapat kuasa masing-masing. Keadaan ini ditambah juga oleh anak-anak Kelantan yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.
Mereka semua bijak, pandai dan hebat tetapi sayang mereka - pegawai kerajaan asal Kelantan yang ada disemua jabatan, kementerian dan agensi kerajaan tidak mampu mempengaruhi keputusan kerajaan (politik). Mereka, pegawai tinggi kerajaan Kelantan tidak ada sifat penakluk. Seharusnya dengan kedudukan mereka, mereka boleh mempengaruhi keputusan kerajaan untuk membawa sesuatu kepada negeri mereka, membantu adik kakak mereka, seperti lebih raya berkenaan.
Maksud mempengaruhi kerajaan ini bukan saja kerajaan Federal, kerajaan Kelantan juga. Mereka boleh memainkan peranan untuk memujuk atau memberi pandangan agar kerajaan Kelantan berbaik dengan kerajaan Federal demi rakyat.
Kalau selama ini kita bangga anak Kelantan ramai yang memegang jawatan tinggi di Federal, tetapi dengan apa yang berlaku kita tidak perlu merasa apa-apa keuntungan dengan kehadiran mereka. Mereka hanyalah enau dalam belukar saja. Mereka hanya menyenangkan diri mereka sendiri tetapi lupa untuk berbakti kepada negeri sendiri. Sikap pegawai tinggi seperti ini bolehlah dianggap sebagai si Tengang yang tidak membawa apa-apa kelabaan kepada negeri sendiri.
Ada yang baru menerjunkan diri dalam politik dan berjanji untuk membela rakyat selepas pencen. Selepas tidak memegang apa-apa kuasa. Sebenarnya orang pencen yang ingin memberi sumbangan kepada rakyat menerusi jawatan politik adalah orang pondan.
Saya tidak mahu memanjang soal lebuh raya dan sikap orang Kelantan yang cerdik tetapi tidak boleh ditumpangi atau pondan itu. Soal lebuh raya Kuala Krai - Kota Bharu sudah muak untuk diperkatakan. Umno sendiri sudah pun merancang untuk membinanya, tetapi ditarik balik. Siapa menarik balik, sekali lagi orang politik Kelantan tidak bersifat penakluk dan bijak merubah keputusan pimpinan pusat. Kalau saya jadi mereka saya telah meletakkan jawatan secara terhormat.
Hari ini kerajaan Kelantan mencang untuk membina lebuh raya berkenaan. Apa yang hendak dilakukan kerajaan Kelantan, hanya boleh didengar dan menyeronokkan diri saja, ia tidak mungkin menjadi kenyataan dalam masa terdekat. Saya berani memberi jaminan kalau pembinaan itu mengharapkan kepada wang kerajaan atau pulangan royalti petroleum ia tidak akan menjadi kenyataan. LRRK itu hanya bagaikan mimpi di siang hari saja. Selagi kerajaan Federal tidak tumbang wang minyak tidak akan mengalir ke Kelantan. Tambah rewel lagi khabarnya bukan semua orang dalam Pas menyokong projek lebuh raya rakyat itu? Exco Kelantan juga berbelah bagi dengan projek raksasa berkenaan?
Atas apa yang berlaku baik di kalangan Umno dan juga Pas termasuk juga penjawat awam asal Kelantan dalam soal lebih raya itu, marilah kita katakan CIS.
Keperitan dalam kesesakan
Apa yang sebenar saya ingin berkongsi cerita disini ialah mengenai kesesakan jalan raya yang memerangkapkan ribuan orang di Jalan Sungai Koyan, Bukit Bentung dan Cegal Perah. Saya kebetulan ikut sama terperangkap dalam kejadian yang tidak patut berlaku ini. Kejadian ini sesuatu yang menyeksakan dan patut diambil iktibar oleh semua pihak khasnya pasukan keselamatan dan penyelamat terutamanya polis demi mengelakkan kecelakaan di masa akan datang.
Mungkin kejadian itu tidak meninggalkan apa-apa kesan memilukan. Dan ia akan dilupakan begitu saja. Kerana betapa lima jam berada di tengah hutan cerang itu di tengah malam buta tetapi yang nyata semuanya sampai ke rumah dengan selamat walaupun lewat berberapa jam. Sudah menjadi kebiasaan manusia apabila mereka lepas dari keadaan susah, dapat berjumpa sanak saudara duduk makan sehidangan mereka tidak ingat lagi akan keperitan masa lalu. Kecelakaan dan kesusahan dalam hidup kita umpama jerat dengan pelanduk.
Bagaimana pun pihak polis tidak seharus memandang enteng perkara ini. Polis kena ambil perhatian dan dijadikan iktibar penting buat mereka dalam mencemerlangkan perkhidmatan mereka. Bayangkan apa akan terjadi sekiranya keadaan itu mendatangkan kecelakaan? Saya membayangkan ini bukan saja-saja untuk menyalahkan polis. Sebagai orang yang berada sendiri di kawasan itu dapat merasakan atau membayangkan kemungkinan itu.
Apa yang orang di luar tidak tahu bagaimana susana dalam kesesakan itu dan kenapa kesesakan di hutan cerang itu berlaku. Kesesakan berlaku apabila kenderaan sukar melalui jalan berliku-liku sebaik meninggalkan Bukit Bentung. Jalan sempit hanya memuatkan sebuah kenderaan sahaja. Nasib baik tidak berlalu perselisihan, cuma dua kali saja. Kiri kanan jalan curam dengan gaung. Jalan walaupun ditar tetapi lebih 60% sudah terkopek dan berlubang. Kereta rendah akan tersangkut dan terdorong.
Sampai di pertengah jalan, berlaku kesesakan menyebabkan kereta berbaris panjang. Dianggarkan lebih 500 buah kereta tersangkut. Ini berlaku kerana ratusan kereta dihadapan terpaksa berinsut-insut perlahan untuk menaiki bukit yang tinggi berselut disebabkan hujan pada petang tadi. Mana-mana kereta yang rendah ada yang terperosok ke dalam selut dan terpaksa ditolak beramai-ramai.
Kereta besar yang tidak berdaya mendaki bukit pula akan dibantu dengan jentera penarik ditarik satu-satu. Bunyi deruman enjin jentera penarik menakutkan saya, membayangkan bagaimana kereta saya akan ditarik macam menarik bangkai gajah. Saya membayangkan macam mana kalau ada yang 'terbolah' dalam mengenderaikan kenderaan tentu akan terbolong ke dalam gaung.
Mungkin jauh daripada perasaan orang lain saya membayangkan macam mana akan berlaku kalau tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Saya membayangkan pasti akan berlaku banjir kilat. Sebatang anak sungai yang dilalui di atas jambatan kayu kira-kira 2 km dari belakang tadi, airnya sudah hampir melimpah ke tebing. Gayat hati semasa melintas jambatan kayu yang sudah uzur 'muzur' itu. Mungkin kalau hujan lebat turun tak henti-henti selama dua jam akan berlaku banjir.
Inilah yang menggeritkan menyebabkan jiwa saya panas dan marah. Kalau berlaku bencana itu saya tidak dapat hendak bayangkan bagaimana nasib ribuan nyawa atas kereta yang terperangkap itu. Bukan sayangkan kereta akan tenggealm tetapi manusia, penumpang. Rata-rata dalam ribuan kereta terperangkap itu terdiri dari kanak-kanak dan orang tua. Salah seorang yang berada dalam kereta yang teperangkap kesesakan gila itu ialah cucunda saya, Muhamamd Khalid Ummar 10 bulan.
Kalau berlaku banjir ke mana hendak menyelamatkan diri. Bongok mana nak rukas. Kiri kanan saya nampak ada parit atau paya besar. Tentu keadaan menjadi kelam kabut dalam suasana gelap pekat begitu. Bayangan inilah menyebabkan saya naik angin dan merasakan polis cuai dan malas dalam menjalankan tugasnya.
Di awal sebelum hendak melencong ke Sungai Koyan lagi sebaik melihat kereta berjujutan menghala ke Padang Tengku saya sudah menghubungi polis untuk mengetahui apa yang berlaku dan menentukan apakah jalan Sungai Koyan untuk keluar ke Cegal Perah selamat. Malangnya anggota polis yang menjawab pihaknya tidak menerima apa-apa maklumat mengenai kesesakan jalan dan tidak pasti apa yang berlaku. Jawaban itu sungguh mengharainkan saya.
Kerana mempercayai maklumat tidak sahih dari orang ramai menyebabkan saya ikut melencong ke Sungai Koyan, Bukit Bentung dan keluar di Cegal Perah. Semasa kira-kira lima jam terperangkap dalam hutan cerang Felda Cegal Perah itu, saya menghubungi balai polis Kuala Lipis sekali lagi, jam 9:50 malam. Jawaban diterima sama dengan panggilan jam 6:00 petang tadi. Saya bertanya kepada anggota itu apakah pihak polis tahu apa yang berlaku di hutan Cegal Perah sekarang ini, dimana ribuan kereta terperangkap dalam kesesakan? Jawabannya belum terima apa-apa aduan.
Saya mencadangkan kepada anggota itu supaya membuat kawalan di jalan masuk simpang Sungai Koyan. Minta diarahkan kereta berpaling balik ke Raub atau Kuala Lumpur. Cadangan itu dibuat atas kepercayaan bahawa Bukit Tujuh tidak dapat dilalui. Saya juga meminta agar polis menghantar anggota trafik untuk meninjau keadaan keselamatan jalan di Cegal Perah yang melalui bukit tinggi berselut dan licin. Saya minta sangat-sangat kerana bimbang dengan situasi pada masa itu. Ketika itu sudah kedengaran anak-anak kecil menangis kerimasan di depan dan di belakang.
Sampai akhir saya tidak nampak kelibat wajah polis mengawal kesesakan itu atau meninjau keadaan. Inilah mengecewakan saya. Cuma semasa menghampir bukit licin baru saya nampak ada anggota berpakian baju celoreng merah, saya tidak pasti dari jabatan mana sedang mengawal lalu lintas membuat lampaian tangan mengarahkan pemandu masing-masing memandau dengan cermat dan hati-hati agak tidak tercongik ke dalam gaung.
Kira-kira jam 12:40 tengah malam apabila saya bersama isteri serta anak-anak dan cucu dan seorang sahabat dan ribuan yang lain keluar dari hutan cerang itu untuk menaiki ke jalan asal menuju ke Gua Musang baru hati tertasa lega dan nyawa dapat ditarik dengan tenang. Namun... tatakala melihat jujutan kereta yang baru turun dari Bukit Tujuh dan bertembung dengan kampi di simpang jalan, hati yang panas kepada polis membara semula.
Rupa-rupa jalan di Bukit Tujuh yang diremuors dengan berbagai dongengan, jambatan runtuh, tanah runtuh dan sebagainya....kemudian ditutup tidak benar belaka. Saya merasalkan diri macam Pak Pandir saja kerana berjalan tanpa ada maklumat lengkap.
Yang bagharal di dalam hal ini adalah polis, polis Kuala Lipis kerana tidak membekalkan maklumat yang sempurna untuk pengguna jalan raya. Saya mohonkan agar Balai Polis Lipis khasnya unit trafik dapat membuat penjelasan bagi menyejutkan perasaan marah. Bertanggungjawablah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan