HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Oktober 2012

MCA sebagai ‘Malaysian Charlatans (Pendusta) Party’ – Lim Kit Siang

Roketkini.com

KUALA LUMPUR : Serangan terhadap Islam dan hudud oleh MCA, sekutu kuat UMNO terbukti hanya mainan wayang politik apabila mereka mendiamkan diri setelah mendapat jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen Selasa.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, adakah  jawapan Parlimen Jamil yang menyebut “jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia, ia tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas bukan Islam” itu mewakili pendirian MCA?

“Justeru adakah MCA akan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertindak terhadap Jamil memandangkan jawapan parlimennya bercanggah dengan pendirian empat Menteri Kabinet MCA dan pemimpin peringkat nasional mereka dalam BN?”

“Atau adakah MCA akan memutuskan perikatannya dengan UMNO?”  soal beliau.

Menyifatkan MCA sebagai ‘Malaysian Charlatans (Pendusta) Party’, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor itu menjelaskan bahawa situasi ini telah membongkar kepura-puraan kempen MCA mengenai hudud sejak dua tahun lalu.

Katanya, pendirian DAP terhadap hudud  sangat jelas dan konsisten sejak dahulu lagi kerana ia tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai bagi masyarakat Malaysia yang majmuk malah bukan sebahagian daripada dasar bersama Pakatan Rakyat.

Baru-baru ini bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir berkata, “pendirian tidak bertolak ansur
MCA terhadap hukum hudud pada Perhimpunan Agung MCA minggu lepas hanyalah bertujuan “menakut-nakutkan” komuniti Cina dan bukan ditujukan kepada kaum Melayu atau umat Islam.

“Tujuan MCA nak takutkan orang Cina supaya tak sokong DAP.” tambah Mahathir.

Kit Siang menyeru agar pembohongan dan penipuan “Perjanjian Syaitan” UMNO dan MCA ini diberi perhatian serius dan dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua rakyat Malaysia.

“Jelas, tindakan mereka adalah untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu bagi mendapatkan undi kaum Cina dan Melayu kepada BN.” ujar beliau.-roketkini.com

Tiada ulasan: