HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Oktober 2012

Sekolah daif bukan alasan

 
Kekurangan kemudahan fizikal harus dijadikan sebagai motivasi kepada guru-guru dan pihak sekolah dalam mendidik murid-muridnya. 



SERIAN: Kekurangan kemudahan fizikal terutama di sekolah kawasan luar bandar bukan alasan kepada warga pendidik gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, sebaliknya sebagai perangsang untuk melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, kekurangan itu harus dijadikan sebagai motivasi kepada guru-guru dan pihak sekolah dalam mendidik murid-muridnya.

“Memang tidak dapat dinafikan, kemudahan fizikal sekolah di bandar jauh lebih bagus berbanding di luar bandar seperti kemudahan meja, kerusi, peralatan sekolah dan sebagainya.

“Tetapi yang penting ialah kesungguhan seorang guru itu untuk memastikan murid-murid di bawah tanggungjawabnya itu berjaya bukan sahaja dalam akademik malah dalam kokurikulum,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Anugerah Insentif Pelajar dan Sekolah Cemerlang Kali Ke-16 Peringkat Sekolah Rendah Daerah Serian 2012.

Kata Manyin, guru-guru diberi pendedahan dan latihan yang mencukupi untuk mendidik dan membimbing murid-murid bawah tanggungjawabnya dan tugas itu mesti dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Ahli Undangan Negeri (Adun) Tebedu itu bagaimanapun berkata, terdapat lima faktor yang mempengaruhi kejayaan dan kegagalan dalam pendidikan iaitu guru atau tenaga pengajar, murid, persekitaran sekolah, ibu bapa dan kemudahan sekolah.

Menurutnya, daripada lima faktor itu, guru dan murid merupakan dua faktor yang boleh dikawal berbanding tiga faktor lain.

“Jika anda (murid) suka belajar, tumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran kerana kecerdasan intelek manusia tidak sama,” katanya sambil memberitahu dengan menggunakan teknik pelajaran yang betul dan dipancu oleh motivasi diri tinggi, murid itu dapat menguasai subjek yang dipelajari.

Tambahnya, zaman telah berubah dan jika masyarakat Serian tidak bergerak seiring dengan kawasan bandar lain, Serian akan menjadi mangsa kemajuan dan pembangunan.

Manyin turut mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM20,000 untuk program pembangunan pendidikan kepada Majlis Guru Besar Daerah Serian.

Hadir sama, Adun Kedup, Martin Ben, Pegawai Pelajaran Daerah Serian, Haji Abang Mat Ali Abang Masagus dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar Daerah Serian, Marcos Nyandang.

Tiada ulasan: