HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Oktober 2012

Kerajaan Selangor bidas BN mainkan isu Batu Caves

TERKINI

Exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu bersama para penyokong Pakatan Rakyat selepas sidang sidang media mengenai isu pembinaan kondominium Dolomite Park Avenue di Batu Caves. — Gambar oleh Md Izwan
 
KUALA LUMPUR —Dakwaan ahli politik Barisan Nasional (BN) ke atas pembinaan kondominium di Batu Caves sama sekali tidak berasas, kata ahli mesyuarat kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu pada sidang media hari ini.

Ahli dewan undangan negeri (adun) Pandamaran tersebut juga berkata penjelasan oleh pemimpin Gerakan, senator A. Kohilan Pillay semalam sebagai satu pembohongan kerana menafikan "Kebenaran Merancang" adalah kelulusan kepada pemaju untuk laksanakan pembangunan.

"Penjelasan oleh Kohilan mengatakan "Kebenaran Merancang" adalah bukan kelulusan melaksanakan sama sekali mengarut.

Pelan pembinaan oleh pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd yang dihantar kepada Majlis Perbandaran Selayang untuk mendapatan "Kelulusan Merancang" kondominium Dolomite Park Avenue di Batu Caves. — Gambar oleh Md Izwan
 
"Mana ada perkara kelulusan melaksanakan seperti yang dikatakan oleh Kohilan.

'Kebenaran Merancang' adalah kelulusan kepada pemaju untuk membina projek tersebut," kata Ronnie.
Ronnie juga membidas bekas ahli majlis Perbandaran Majlis Selayang (MPS) kerana berlakon tidak tahu tentang projek kondo, Dolomite Park Avenue tersebut.

"Mana boleh dia tidak tahu? Mana boleh dia kata pemaju hanya mengatakan akan membina lot kedai sahaja disini. Hari ini saya bawa pelan pembinaan yang meliputi lot kedai dan kondo yang diluluskan oleh MPS.

"Bagaimana dia kata dia tidak tahu tentang kondo ini? Jelas sekali dalam pelan ini ada menyatakan tentang pembinaan kondo," kata Ronnie lagi.

Dalam sidang media hari ini, Ronnie mendedahkan dokumen lengkap "Kebenaran Merancang" yang diluluskan pada 30  November 2007 selepas persidangan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC).

Selain itu, turut disertakan bersama kelulusan tersebut ialah pelan pembinaan termasuk lokasi lot kedai dan kondo oleh pemaju yang dikemukakan kepada pihak MPS.

"Selepas OSC bersidang pada 27 September 2007, "Kebenaran Merancang" ini telah diberikan kepada pemaju.

"Dalam surat kebenaran itu ada menyebut 'pelan bangunan hendaklah dikemukakan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh  Jabatan Bangunan MPS', ini membuktikan MPS ketika itu sudah mengetahui tentang kondo ini," terang Ronnie lagi.

Apabila menjawab soalan mengenai langkah yang akan diambil oleh kerajaan negeri bagi menangani isu ini, Ronnie berkata MPS  akan membawa isu ini ke Jawatankuasa Perancang Negeri (SPC).

"Kajian akan dilakukan oleh SPC, ia mungkin akan mengambil masa selama sebulan.

"Jika kajian ini mendapati kesan buruk akan berlaku apabila pembinaan ini diteruskan, maka kelulusan "Kebenaran Merancang" ini  akan terbatal. Kerajaan negeri juga tidak akan dibebani dengan perlu membayar pampasan," kata Adun Pandamaran itu lagi.

Pembinaan kondominium yang dirancang sejak 2007 itu kini berhadapan tekanan terutamanya daripada pihak jawatankuasa kuil yang  kini memperoleh sokongan daripada pemimpin MIC yang turut sama membantah pembinaan itu.

Semalam, ratusan penganut agama Hindu dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO) menyertai himpunan di perkarangan Batu Caves  bagi menyatakan bantahan ke atas pembinaan kondo tersebut yang dikatakan akan memberi ancaman kepada alam semulajadi bukit itu.

Bekas menteri kerja raya, Datuk Seri Samy Vellu yang hadir atas jemputan pihak jawatankuasa kuil turut sama menyertai dan  memberikan ucapan dihadapan kira-kira 300 orang ramai yang hadir pagi semalam.

Dalam himpunan sama, Kohilan bertindak menunding jari dengan menuduh pihak kerajaan Pakatan Rakyat sekarang yang bertanggungjawab meluluskan projek kondo tersebut.

Kohilan mengakui semasa dia menjadi ahli majlis menyedari tentang projek tersebut tetapi menafikan memberikan kelulusan  kepada pemaju untuk membangunkan kawasan itu.

“Memang saya mengetahui tentang projek tersebut sejak 2007 tetapi ketika itu MPS hanya meluluskan 'Kebenaran merancang bagi  cadangan pembangunan perdagangan di atas Lot 622'.

“Tetapi ia bukan kelulusan untuk ‘Rancangan Pembangunan’ dengan tujuan membina kondo 29 tingkat,” kata Kohilan.

Projek Dolomite Park Avenue oleh pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd di Batu Caves ini dianggap sebagai sensitif memandangkan  kawasan tersebut merupakan tumpuan masyarakat Hindu beribadat dan meliputi sejumlah 170,0000 kaum India yang merupakan kumpulan utama pengundi di kawasan bandar Selangor.

Tiada ulasan: