GEORGETOWN: Lima puluh anggota pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
menyerahkan batu nisan kepada Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Abdul
Malik Abul Kassim, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)
Datuk Patahiyah Ismail dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau
Pinang (MAINPP) Datuk Mohd Salleh Man.
Batu nisan itu yang diserahkan Ketua Wira Pertubuhan Peribumi Perkasa
Malaysia (PERKASA) Pulau Pinang Mohd Rizuad Mohd Azudin, diterima
seorang pegawai di pejabat ketiga-tiga pemimpin berkenaan di Tingkat 9
Menara Umno, Jalan Macalister dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
Mohd Rizuad berkata penyerahan batu nisan kepada ketiga-tiga pemimpin
itu sebagai simbolik untuk memberi peringatan kepada mereka supaya
menyelesaikan segera masalah Tanah Perkuburan Islam Kampung Boundry,
Ayer Itam di Georgetown yang terjejas dipercayai diceroboh syarikat
pemaju swasta.
"Tujuan kami datang ke sini sebab pejabat agama sampai hari ini tidak
pernah datang menelefon mangsa. Ini adalah satu isu paling sensitif yang
tidak pernah berlaku sebelum ini dan hari ini terjadi benda ini di
Pulau Pinang," katanya kepada pemberita semalam.
Antara NGO yang terlibat dalam penyerahan batu nisan itu ialah PERKASA,
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Warga Cinta
Negara Malaysia (Pencinta), Jaringan Muslim Pulau Pinang (JMPP) dan
Pertubuhan Dakwah dan Islamiah Malaysia (Pekida).
Baru-baru ini, lebih 20 kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung
Boundry, Ayer Itam terjejas dipercayai diceroboh syarikat pemaju swasta
yang menjalankan projek perumahan di kawasan bersebelahan.
Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati waris apabila kubur
anggota keluarga mereka turut terjejas disebabkan pembangunan di situ.
Rizuad juga menggesa ketiga-tiga pemimpin itu untuk tampil dan turun
padang melihat keadaan tanah perkuburan itu serta menyelesaikan perkara
itu secepat mungkin.
Sementara itu, seorang waris yang turut sama menyerahkan batu nisan
itu, Noor Sham Mohd Amin, 54, melahirkan rasa kecewa dan marah apabila
ketiga-tiga pemimpin itu tidak mahu bekerjasama menyelesaikan masalah
itu.
"Kami minta pejabat agama jangan tidur saja. Serupa juga MPPP kalau nak
buat bangunan, fikir-fikir la. Kalau ada kubur janganlah sampai nak
buat rumah sampai celah-celah kubur tu, tempat lain banyak lagi,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan