Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia adalah sesuatu yang dipelajari daripada perhimpunan Bersih yang lalu, semata-mata untuk membolehkan pihak polis mengenal pasti media daripada peserta perhimpunan, tanpa agenda lain.
"Pertimbangan kita yang paling penting adalah keselamatan awam, dan apa jua keputusan yang dibuat oleh pihak-pihak berkepentingan ia bersandarkan kepada keselamatan dan ketenteraman awam," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Thailand Dr Chalerm Yoobamrung di sini hari ini.
Hishammuddin bagaimanapun berkata soal keselamatan tidak hanya terletak di bahu pihak polis kerana pihak penganjur dan peserta perhimpunan itu sendiri turut bertanggungjawab atas keselamatan masing-masing.
Beliau berkata PDRM diyakini dapat menjamin keselamatan dan ketenteraman mereka, dengan syarat semua pihak termasuk pihak penganjur realistik dan permintaan mereka munasabah.
"Kali terakhir (Bersih) ia diadakan di jalan raya, bukannya polis yang pergi ke jalan raya. Apabila jaminan diberikan ia akan merupakan perhimpunan aman, ia tidak berlaku," katanya.
Ditanya mengenai tahanan Penjara Pulau Pinang yang meloloskan diri semasa dalam perjalanan ke Mahkamah Butterworth dengan van polis Isnin lepas, Hishammuddin berkata selain mencari mereka yang terbabit, pihak polis juga akan melihat langkah-langkah yang perlu bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.
"Saya percaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan apa juga penambahbaikan, kita tak pernah bantah," katanya.
Sementara itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan pihak penganjur yang bertanggungjawab terhadap perhimpunan itu supaya mematuhi Seksyen 6 Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA).
Dalam kenyatan di laman Facebook, PDRM berkata pihak penganjur harus bertanggungjawab memastikan sesuatu perhimpunan mematuhi akta APA serta mana-mana undang-undang bertulis.
Penganjur juga perlu memastikan perhimpunan tidak membahayakan kesihatan atau menyebabkan kerosakan kepada harta dan alam sekitar, dan memastikan kebersihan di tempat perhimpunan termasuk menanggung kos pembersihan.
PDRM turut menggesa penganjur supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan dalam kalangan orang awam serta mengganggu ketenangan orang awam.
"Pihak penganjur memastikan perhimpunan tidak akan menyebabkan kesusahan kepada orang awam," kata PDRM.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan