SINAR HARIAN
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim),
Datuk Nik Mustapha Nik Hassan
Ketua Pengarah Ikim, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata, program pertama kali yang disiarkan IKIM itu bagi menyatakan pendirian Ikim dan memperjelaskan kepada umum kesalahan menggunakan perkataan 'ALLAH' sebagai terjemahan kepada 'God'.
"Pendirian Ikim kekal bahawa penggunaan ALLAH sebagai terjemahan kepada God tidak dapat diterima kerana ia bukan sahaja menyalahi lunas-lunas bahasa bahkan tidak dapat dipertahankan dari segi akidah, sejarah mahupun undang-undang.
"Menyedari hakikat ini menjadi kewajipan Ikim, untuk mengambil langkah yang sewajarnya bagi memelihara kesucian bahasa agar tidak dicemari unsur asing yang boleh mengelirukan pegangan masyarakat Islam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, Bahasa Melayu adalah tergolong dalam rumpun bahasa Islam dan makna yang sah bagi kalimah ALLAH ialah makna yang dikehendaki oleh al-Quran dan dijelaskan dalam akidah Islam.
"Dalam surah Al-Ikhlas, ALLAH berfirman dengan maksud; "Katakanlah: Dia adalah ALLAH, Yang Maha Esa. ALLAH, yang Maha Kekal Abadi tiada berkesudahan. Tiada Dia beranak dan tiada pula Dia diperanakkan. Dan bagi-Nya tiada satu pun tara (setara)," katanya.
Nik Mustapha berkata, ia berbeza dengan konsep ketuhanan yang dianjurkan dalam agama Kristian yang berasaskan konsep triniti iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Tuhan Roh Suci (Holy Spirit).
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kalimah ALLAH yang kembali panas apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan sempena Hari Krismas Disember lalu meminta kerajaan Pusat membenarkan penggunaannya dalam kitab Bible di Semenanjung.
Selain program siaran muzakarah melalui Internet TV yang dilaksanakan khas untuk tontonan umum itu, Ikim pada Januari 2010 turut melaksanakan muzakarah pakar secara tertutup bagi membincangkan isu yang sama di Dewan Besar Ikim. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan