Beliau berkata, himpunan yang akan diadakan pada hari minggu itu sebenarnya bertujuan memberi isyarat jelas bahawa rakyat biasa mahu pun mereka yang bernaung di bawah badan-badan bukan kerajaan (NGO) ini punya rungutan dan tuntutan mereka sebagai rakyat yang harus didengari.
"Ia adalah untuk membuktikan bahawa ramai rakyat di Malaysia ini merasa tidak berpuas hati melalui NGO-NGO, melalui badan-badan sivil, badan-badan masyarakat Madani ini untuk mengajukan tuntutan-tuntutan mereka ini.
"Tuntutan-tuntutan mereka ini juga pelbagai. Jadi Himpunan Kebangkitan Rakyat ini mengemblengkan semua tuntutan ini dalam satu hari. Jadi ini yang cuba dilakukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Bukan setakat memberi amaran kepada pemerintah pada hari ini, ia juga suatu peringatan kepada mana-mana parti yang akan mengepalai tampuk pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Tujuannya adalah untuk mengajukan tuntutan-tuntutan daripada NGO-NGO seperti Anak untuk selamatkan Felda, Mufakat untuk selamatkan kampung warisan, kumpulan Hijau untuk selamatkan Pengerang dan kilang Lynas (dan sebagainya)," ujarnya.
Ditanya apakah perbezaan himpunan ini dengan himpunan-himpunan lain yang pernah dianjurkan sebelum ini seperti Bersih, Hishamuddin berkata, perbezaan paling jelas, ia akan mengumpulkan bilangan rakyat yang ramai iaitu satu juta orang.
"Beza yang paling hakiki ialah jumlah peserta yang kita sasarkan untuk menyertai himpunan ini. Ini adalah satu jumlah yang belum ada dalam sejarah tanah Melayu, dalam sejarah Malaya, dalam sejarah Malaysia berlaku dan ini lah yang kita cuba lakukan.
"Keupayaan NGO-NGO ini bekerjasama dengan Pakatan Rakyat mengemblengkan tenaga, menyusun, mengatur dan menggerakkan satu juta rakyat dan juga untuk mengingatkan kerajaan hari ini, mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya supaya jangan membuat penyelewengan di dalam pilihan raya akan datang ini," ujarnya lagi.
Dalam satu sidang media yang diadakan di ibu negara semalam, Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat, Mohamad Sabu memberi jaminan tiada himpunan jalanan akan berlaku pada 12 Januari ini.
Himpunan itu katanya, dijangka berjalan secara aman setelah mendapat kerjasama yang baik daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kita telah bermesyuarat dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan beliau telah memberi jaminan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2011 iaitu polis berperanan menjadi fasilitator.
"Mereka juga meminta agar peserta turut memberi kerjasama yang baik kepada pihak PDRM," katanya.
Sementara itu mengulas kemungkinan himpunan pada Sabtu ini mungkin tidak terlepas daripada insiden tidak diingini seperti keganasan, Hishamuddin dengan yakin mengatakan perkara seperti itu tidak akan berlaku.
"Jika ada orang yang membuat provokasi ini, kami jamin ini bukan dari kumpulan kami dan kami berharap, polis sendiri akan mengambil tindakan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan