KUALA
LUMPUR— Pemimpin Kristian meluahkan kebimbangan terhadap kesan
titah Sultan Selangor yang mengharamkan agama selain Islam dari
menggunakan perkataan “Allah” merujuk kepada Tuhan mereka.
Sultan negeri tersebut turut memberi arahan kepada Majlis
Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)
untuk mengambil tindakan tegas ke atas semua kumpulan, termasuk bukan
Islam yang terus mempersoalkan fatwa kerajaan negeri dan undang-undang
negeri 1988 yang melarang penggunaan perkataan Arab itu.
“Bolehkah fatwa juga dikenakan ke atas bukan Islam?” kata Father Lawrence Andrew, pengarang akhbar Katolik negara ini, Herald apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider semalam.
Pada Disember 2009, Mahkamah Tinggi memutuskan perkataan
“Allah” bukan hanya untuk umat Islam dan Gereja Katolik mempunyai hak
untuk menggunakan perkataan tersebut dalam seksyen Bahasa Melayu dalam
akhbar mingguannya, Herald.
Beliau enggan memberi komen lebih lanjut, dan berkata
beliau hanya membiarkan soalan tersebut dijawab pakar undang-undang,
selepas menunjukkan isu yang dibangkitkan dalam cabaran mahkamah Herald tiga tahun lalu.
Pada keputusan 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee
Lan mendapati “bukan Islam melakukan kesalahan jika dia menggunakan
perkataan ‘Allah’ kepada Muslim tetapi tidak menjadi kesalahan jika
digunakan kepada ‘bukan Muslim’.
Rev Hermen Shastri dari Gereja Methodist memberitahu The Malaysian Insider
keputusan mahkamah masih lagi sah, tetapi masih belum selesai kerana
rayuan Kementerian Dalam Negeri untuk melarang bukan Islam menggunakan
perkataan tersebut, dengan berhujah di mahkamah kerana menggugat
keselamatan negara.
“Sehingga keputusan ditukar kembali, Kristian mempunyai
hak untuk menggunakannya,” kata Shastri yang merupakan setiausaha agung
Majlis Gereja Malaysia (CCM) — badan yang mewakili seluruh gereja
Protestan seluruh negara.
Presiden CCM, Uskup Datuk Thomas Tsen memberitahu The Malaysian Insider
beliau bimbang selepas titah tersebut dikeluarkan dan kesan kepada
penganut Kristian Sabah dan Sarawak yang tinggal di negeri tersebut.
“Sudah tentu saya bimbang dengan kesan kepada mereka yang
tinggal di sini, terutamanya apabila Najib bercakap tentang 1Malaysia
dan kita mahu bercakap dalam satu bahasa,” kata uskup Lutheran merujuk
kepada ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Seperti Andrew, beliau enggan mengulas tentang titah
Sultan Selangor, tetapi menbangkitkan 10 perkara dalam perjanjian
dikeluarkan oleh pentadbiran Najib pada April 2011, yang membenarkan
Kristian di Borneo Malaysia kebebasan untuk menggunakannya dalam amalan
agama mereka menjelang pilihan raya negeri Sarawak.
“Bila kami berdoa dalam bahasa kami, pengguna bahasa
Melayu menggunakan perkataan ‘Allah Bapa Syurga’ merujuk ‘Our Father in
Heaven’,” kata Tsen yang mengetuai Basel Christian Church of Malaysia di
Sabah.
Beliau menambah amat sukar untuk penganut Kristian Sabah
dan Sarawak yang bebas menggunakan perkataan tersebut di negeri
masing-masing tetapi dilarang di Selangor.
“Ia pasti akan menyebabkan beberapa kekaburan dan beberapa perasaan yang pelik” kata Tsen.
Kristian di Sabah dan Sarawak mewakili 9.2 peratus penduduk di Malaysia.
Penghantaran kapal Alkitab, Bible dalam bahasa Melayu
untuk penduduk bumiputera beragama Kristian, telah dihalang atau
dirampas, sebelum kerajaan membenarkannya pada tahun 2011 selepas tunduk
kepada tekanan.
Dalam perjanjian Kabinet melibatkan 10 perkara dalam
jaminan pentadbiran Najib kepada penduduk beragama Kristian di Sabah dan
Sarawak, mereka bebas untuk mengimport bible mereka dalam bahasa Melayu
atau bahasa lain, termasuk bahasa Iban, Kadazan Dusun dan Lun Bawang.
Kerajaan persekutuan juga berkata tiada halangan akan dikenakan.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memanggil
mesyuarat tergempar dengan pegawai agama Islam untuk menghalang
penggunaan perkataan Arab tersebut bagi bukan Islam, menurut Mais
semalam.
“DYMM Sultan Selangor telah membuat ketetapan dan
menitahkan dengan tegas bahawa kalimah Allah yang merupakan kalimah suci
khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri
Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang
telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010,” kata Setiausaha
MAIS Datuk Mohd Misri Idris dalam satu kenyataan semalam.
Mohd Misri menambah Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan
pernah mengeluarkan titah sama berkaitan penggunaan kalimah Allah tiga
tahun yang Ialu apabila isu ini pertama kali dibangkitkan akan tetapi
tidak diendahkan.
Beliau menerangkan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) melarang penggunaan perkataan tersebut telah diluluskan dalam dewan undangan negeri dan menjadi undang-undang sejak Julai 1988.
Beliau berkata undang-undang negeri juga mengikut Artikel
11(4) Perlembagaan Persekutuan berkenaan tentang penyebaran doktrin
bukan Islam.
“Seksyen 9 Enakmen berkenaan telah dengan jelas melarang
kalimah Allah dari digunakan oleh orang bukan Islam di dalam ape-ape
perkara yang berkaitan dengan agama mereka.
“Tuduhan dan hukuman boleh dijatuhkan bagi mereka yang melanggar peruntukan ini,” katanya.
Sultan Selangor juga menegur mereka yang menggunakan Islam
bagi tujuan politik dan memberi amaran kepada mereka yang cuba
menghancurkan keamanan yang dinikmati rakyat berbilang agama di
Malaysia, kata Mohd Misri.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu
sidang media bersama pemimpin Pakatan Rakyat bahawa Kristian dan bukan
agama Islam tidak seharusnya menyalahgunakan perkataan tersebut untuk
mencetus kekeliruan kepada umat Islam, tetapi ini tidak bermakna mereka
tidak boleh menggunakan perkataan tersebut.
Beberapa tahun kebelakangan ini masyarakat Kristian dan
Islam bertikam lidah mengenai perkataan Allah, dimana umat Islam
mendakwa ia eksklusif untuk mereka memandangkan Islam adalah agama
monotheistik dan perkataan “Allah” bermaksud Tuhan kepada umat Islam.
Masyarakat Sikh juga mendakwa perkataan “Allah” adalah sebahagian dari kitab suci mereka untuk merujuk kepada tuhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan