HALAMAN SANTAI

Isnin, 7 Januari 2013

Yatt Hamzah: Jangan takut berhijrah,rezeki di tangan Allah


DETIK DAILY

Tahun 2012 menyaksikan penghijrahan sebilangan besar selebriti tanah air. Baik pelakon, penyanyi, pengarah atau pengacara. Ramai yang sudah melalui proses hijrah dan yang lebih ketara apabila artis wanita yang dahulunya tidak bertudung kini sudah menutup aurat.

Wanita yang bertudung tidak lemah. Kalau kita tengok nama-nama yang besar seperti Dr Muhaya, Dr Harlina Siraj, Ustazah Siti Nor Bahyah, Wardina semakin menjadi ikutan. Masyarakat kita tidak membeza-bezakan yang bertudung ataupun tidak. Sama saja malah lebih dekat dengan ALLAH malah mendapat tempat di mata masyarakat.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah sebelum berhijrah Yatt risau tidak dapat tawaran kerja lagi?

YATT HAMZAH: Sebelum, ya. Saya akui. Dulu. Lama. Sebelum saya berhijrah saya banyak risau tentang periuk nasi. Masa itu, saya mungkin kosong. Dada saya mungkin belum cukup dengan ilmu. Tetapi apabila hati ini kuat nak berhijrah, saya banyak pergi usrah.

Usrah Fitrah merupakan keluarga kedua selepas keluarga saya. Ia merupakan pergerakan artis-artis yang sedang berhijrah, telah berhijrah. Bukan saja artis-artis, kita juga ada penggiat seni yang lain. Macam penulis skrip, pengarah, pereka fesyen, krew, jurusolek malah penolong pengarah pun ada. Jadi, memang tidak ada masalah.

Kami sama-sama berkumpul setiap minggu untuk belajar agama. Untuk mengisi dada dengan ilmu supaya kami tidak lemah.

SINAR HARIAN ONLINE: Berlakon itu merupakan periuk nasi Yatt sebelum ini. Jadi, bagaimana sekarang? Berniaga macam artis lain?

YATT HAMZAH: Berniaga itu dalam perancangan. Tetapi disebabkan saya sangat sibuk dengan jadual motivasi dan juga ceramah, agak sukar untuk saya mencuri-curi masa dengan keluarga, anak-anak pun masih kecil lagi, tetapi insya-ALLAH. Doa-doakan sebab memang ramai yang menawarkan untuk jalinkan kerjasama bagi mulakan perniagaan seperti tudung jubah dan sebagainya, Insya-ALLAH nanti. Lagi satu, saya memang teringin nak mulakan 'production house' sendiri. Sejujur-jujurnya saya teringin sangat nak lihat industri perfileman di Malaysia lebih hebat daripada industri Indonesia. Kita pun tahu sejauh mana kehebatan mereka.

Mereka sudah ada filem sehebat Ketika Cinta Bertasbih di mana pendukung cerita itu semua daripada penulis skrip, pengarah, pelakon semua sangat islamik, penghayatan mereka sangat kuat. Malah pengarah sendiri ulama. Kenapa kita tidak boleh? Itu yang sedang kami usahakan dan perjuangkan. Kami kumpulkan sebanyak mungkin karyawan dalam bidang seni yang cintakan seni dan pada masa yang sama cintakan ALLAH. Sama-sama kami di bawah satu bumbung, berjuang untuk terbitkan lebih banyak karya-karya seni.

Kami tidak akan berhenti menjadi orang seni. Kami akan teruskan lebih kuat lagi dengan adanya kuasa ALLAH, kami ingin usahakan perancangan ini, tetapi ia mungkin jauh lagi. Buat masa sekarang, kami akan usahakan program-program seperti Jejak Rasul. Insya-ALLAH dalam bulan Februari nanti kami dalam Usrah Fitrah akan ke Mekah dan Madinah untuk membuat program seumpama itu sambil mengerjakan ibadah umrah.

Usrah Fitrah di bawah naungan Media Skrin, kami akan terbitkan lebih banyak naskhah-naskhah yang lebih islamik pada masa akan datang. Kami utamakan artis yang betul-betul dah berhijrah untuk mendukung watak-watak yang bertudung, yang islamik supaya karya-karya itu lebih dekat di hati penonton kerana ia betul-betul islamik.

SINAR HARIAN ONLINE: Perkembangan terkini Yatt?

YATT HAMZAH: Saya sudah lama tidak berlakon. Tetapi saya tidak kisah sangat sebab saya sangat sibuk dengan aktiviti dakwah saya. Saya banyak buat program di masjid, undangan ceramah dan banyak buat program-program TV sebagai tetamu undangan. Serta memenuhi undangan ke majlis-majlis islamik. Saya memang tidak menang tangan. Alhamdulillah.

Tiada ulasan: