HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Mac 2013

Kerja tergendala, rezeki penduduk tidak menentu

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Tawau memandang berat pencerobohan pihak asing di Kampung Tanduo, Felda Sahabat, Lahad Datu yang berlarutan sejak 9 Februari lagi.

“Kita simpati dengan kesulitan dan kesengsaraan penduduk Kampung Tanduo yang terpaksa menumpang di rumah keluarga dan sahabat handai.

“Kita juga prihatin dengan kebimbangan yang tidak menentu penduduk Lahad Datu, Kunak dan Semporna khususnya dan seluruh Sabah amnya,” ujar Yang Dipertuanya, Mohamad Husain dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, katanya kerana rata-rata pencarian mereka dan rezeki tidak menentu, kerja terus tergendala manakala pendidikan anak-anak sekolah tergendala.

Katanya, kemelut daripada peristiwa tersebut merebak dengan kejadian berkaitan di Lahad Datu, Kunak dan Semporna.

Beliau berkata, kehadiran penceroboh yang lebih 200 orang dengan bersenjata automatik bukan sesuatu yang boleh dibuat endah tak endah.

Justeru, ujarnya PAS kawasan berharap dan memohon agar pihak kerajaan tidak memperjudikan kedaulatan dan keselamatan negara dan kehidupan harian rakyatnya dengan membiarkan kemelut ini berlarutan sehingga kini telah melebihi 20 hari.

Beliau menegaskan, PAS Kawasan Tawau yakin kemampuan pihak keselamatan, Angkatan Tentera dan Pasukan Polis Malaysia dapat menangani kemelut di Kampung Tanduo dan peristiwa-peristiwa yang berkaitan di Daerah Lahad Datu, Kunak dan Semporna malah seluruh Sabah.

“Mandat, kekuatan dan semangat yang jitu pada Pasukan Keselamatan kita tidak pernah luntur dan PAS sentiasa bersama mereka dalam menghadapi saat-saat yang mencabar ini,” ujarnya.

PAS Tawau, kata beliau juga simpati, sedih dan merakamkan takziah kepada semua keluarga pihak keselamatan yang terkorban dan cedera dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Tiada ulasan: