HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 Mac 2013

Krisis air Pahang, penduduk tubuh JK pemantau

 Khairil Abdul Rahim,
 


KUANTAN: Ekoran kerapnya berlaku krisis bekalan air terawat di daerah ini melibatkan kawasan-kawasan perumahan, perniagaan dan asrama institusi pengajian tinggi, penduduk di sini bertindak menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Hal Ehwal Air Kuantan.

Pengerusinya, Lee Chean Chung berkata, jawatankuasa tersebut ditubuhkan dalam usaha membantu penduduk menyelesaikan masalah air yang sering berlaku sejak akhir-akhir ini.

Lee yang juga Pengarah Pusat Komuniti Dun Semambu PKR, berkata badan bertindak berkenaan ditubuhkan bertujuan merekodkan dan membantu menyalurkan maklumat masalah air yang berlaku di daerah ini secara terus kepada Perbadanan Air Pahang Berhad (Paip).

Menurutnya, sebanyak 15 wakil jawatankuasa telah dilantik di setiap taman perumahan yang sering dilanda masalah air.

“Mulai Mac ini, jawatankuasa ini akan merekodkan setiap masalah air setiap bulan dan seterusnya ia akan dihantar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Paip untuk tindakan segera.

“Secara tidak langsung, masalah air ini akan diselesaikan Paip dengan lebioh pantas sejurus dimaklumkan oleh jawatankuasa ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya semalam.

Selain itu, beliau menjelaskan pada 25 Mac ini juga akan diadakan sesi dialog bersama Paip dan tempoh 14 hari akan diberikan kepada syarikat pengurusan air Pahang itu untuk memberi penjelasan dan maklumat menyeluruh berkenaan dengan masalah air yang sering berlaku di daerah ini.

Chean Chung berkata, sekiranya tiada penyelesaian dilaksanakan, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Paip.

“Pihak kami sememangnya komited dalam usaha untuk mengatasi masalah air yang dikatakan sering berlaku di beberapa kawasan taman sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk.

“Kami harap hasil daripada inisiatif ini, ia bukan sahaja dapat membantu penduduk malah menjadi mata dan telinga Paip untuk memaklumkan segera masalah yang berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, penduduk juga dialu-alukan untuk menghantar emel di kuantanair@gmail.com sebagai medium perantara Jawatankuasa dan Paip.

Bagi talian hotline pula, penduduk boleh menghubungi 010 9189148 untuk maklumkan masalah segera kepada Jawatankuasa Pemantauan Hal Ehwal Air Kuantan ini.

Tiada ulasan: