Politik bukan sekadar terlibat dengan agenda kepartian, tetapi politik itu perlu dilihat sebagai partisipasi mahasiswa dalam pembangunan Negara. Untuk mentafsirkan keterlibatan ini, maka saya suka memetik pandangan Dato Saifuddin Abdullah yang menyifatkan mahasiswa sebagai golongan terpelajar yang mahu peranan mereka diiktiraf dan suara mereka didengar oleh pihak Kerajaan dalam pembentukan dasar-dasar Negara
Bahkan saya ingin menambah bahawa Mahasiswa juga mahukan keseriusan pihak Kerajaan dalam melayani pandangan mahasiswa melalui mekanisme yang boleh dilihat, disentuh dan disertai mahasiswa dalam membuat keputusan, bukan sekadar mendengar dan kemudian memuji-memuji pandangan mahasiswa.
Bagi
saya, dalam membicarakan soal reformasi pengajian tinggi, perkara ini
tidak boleh lari daripada beberapa poin utama iaitu kerangka Kerjanaan
Ilmu, Iltizam pemerintah, Fungsi IPT dan kemahasiswaan.
Melihat
kepada situasi semasa IPT tempatan, keempat-empat elemen ini bagi saya
telah dicabuli dengan teruk sehingga mendesak kepada perlunya sebuah
reformasi besar-besaran terhadap sistem pengajian tinggi Negara.
Perkara
ini bagi saya tidak disentuh secara akademik oleh panel-panel pada
wacana Kuasa Politik Mahasiswa anjuran Sinar Harian baru-baru ini. Lebih
parah apabila wakil UMNO, iaitu Tun Faisal sering melontarkan
hujah-hujah abstrak yang tergantung dan terlalu bersifat prejudis
terhadap kebebasan politik mahasiswa.
Saya tidak mahu bercakap panjang soal pencabulan kuasa politik mahasiswa ini.
Selagi
Auku tidak dihapuskan, selagi aku janji dalam dokumen tajaan biasiswa
tidak dimansuhkan, dan selagi elemen aku janji dalam dokumen PTPTN masih
wujud, maka pencabulan ini akan terus berlaku.
Mahasiswa
diikat dengan budaya ketakutan akibat peraturan konservatif yang tidak
lagi sesuai dengan suasana maklumat terbuka. Mahasiswa ditekan sehingga
menjadi seperti mesin yang sarat dengan ilmu, tapi hanya berfungsi
mengikut arahan tuan pemunya.
Apa
jadi dengan Adam Adli, Safwan Anang, Syahid Zaini, Haziq Aziz, mereka
ini digantung pengajian hanya kerana menyuarakan pandangan kepada
pemerintah.
Mereka menuntut dipulangkan kebebasan akademik dan dimansuhkan Auku.
Lebih
menarik apabila mereka semua dihukum selepas pindaan Auku pada tahun
2012. Ini menunjukkan pindaan AUKU hanya pelepas kepada Kerajaan untuk
selamat daripada dituduh memperguna Universiti demi kepentingan politik
parti pemerintah.
Mereka
meminda satu seksyen yang akan memberi manfaat kepada parti memerintah,
dalam masa yang sama mereka masih mengekalkan banyak seksyen yang
memberi kelebihan kepada parti pemerintah.
Saya
kira wacana yang lepas seharusnya bersifat progresif dengan
membincangkan apa yang diperlukan oleh IPT dan bukan sekadar mengulang
bincang permasalahan mengenai AUKU.
Perbincangan
seharusnya menghuraikan samada Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara
(PSPTN) berjaya mencapai matlamat atau tidak.
Perbincangan
juga sepatutnya berbincang mengenai apakah IPT di Malaysia benar-benar
berfungsi sebagai pusat pendidikan tertiari dalam memberdaya mahasiswa
dan masyarakat sekeliling.
Perbincangan
juga sepatutnya membincangkan samada IPT di Malaysia mampu menjadi
medan percebatan ilmu yang membawa manfaat kepada masyarakat secara
umum. Saya percaya matlamat-matlamat ini masih gagal dicapai kerana
beberapa sebab termasuk kelemahan pentadbiran Kerajaan memahami konsep
autonomi IPT dan Kebebasan Akademik.
Matlamat asasi IPT ini juga tercemar dengan perlumbaan ekonomi menggila yang kononnya ingin membina sebuah Negara kaya.
Namun
akhirnya perlumbaan ekonomi ini hanya melahirkan konglomerat yang terus
bertambah kaya disamping graduan muda terus dihimpit hutang akibat
pendidikan yang diniagakan.
Perkara
ini terus menjadikan matlamat pendidikan tinggi tersongsang daripada
matlamat sebenar iaitu menjulang kesarjanaan ilmu dan pembinaan
keinsanan kepada kerakusan memenuhi kehendak pasaran ekonomi seterusnya
menjadikan IPT sebagai corporate enslaving
Dalam
kecelaruan pemimpin IPT untuk menentukan sikap samada ingin mengejar
kehendak pasaran atau kembali menjadikan IPT sebagai ruang ilmu yang
bebas, maka saya suka memetik bicara Dato Dr Siddiq Fadzil dalam buku
Pendidikan Al Hikmah dan Misi Pencerahan yang menekankan konsep “What is
important for human being?”.
Dr Siddiq juga ada menyifatkan Universiti hari ini lebih gemar membuat Study of Wealth berbanding Study of men.
Oleh
itu saya merasakan menjadi satu keperluan kritikal untuk pemimpin IPT
hari ini menjernihkan kembali proses pembelajaran dan pengajaran dalam
kampus.
Kursus-kursus
ekonomi, sains dan teknikal perlu seiring dengan pembinaan insaniah,
kenegaraan dan kebudayaan agar professional yang lahir bakal berfungsi
sebagai insan kamil yang boleh bermanfaat dalam segenap bidang.
Jika
tidak berlaku reformasi terhadap IPT, maka saya tidak dapat bayangkan
bagaimana generasi yang bakal lahir daripada IPT pada masa akan datang.
Selain
daripada bermatlmatkan kehendak pasaran, IPT juga dihimpit dengan
elemen-elemen pembodohan dengan adanya akta dan peraturan-pertaturan
konservatif. Maka adalah tidak salah jika masyarakat yang bakal lahir
disifatkan sebagai robot yang dihasilkan oleh kilang bernama Universiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan