Oleh Aspan Alias
Dalam masa akhir-akhir ini UMNO telah mengulang-ulangi isu yang pembangkang tidak akan berjaya menunaikan janji-janjinya terhadap rakyat. Beliau bercakap perkara yang sama seperti seorang yang asyik berwirid dengan wirid yang sama siang dan malam. Muhyiddin pun sama wiridnya dengan Najib. Mungkin kedua-duanya mempunyai guru yang sama dan agaknya guru mereka ini tentu lah Dr Mahathir.
Setiap kali Najib dan pimpinan UMNO bercakap mereka menekankan yang Pakatan Rakyat hanya pandai berjanji dan tidak akan mampu melaksanakannya. Pimpinan UMNO terutamanya Najib sedang mundar mandir memuji diri beliau sendiri. Beliau terpaksa memuji dirinya sendiri kerana rakyat sudah tidak lagi memandang tinggi terhadap parti yang sakit ini.
Sedangkan Tuhan pun tidak memuji dirinya sendiri. Tuhan mentajallikan Muhammad untuk memuji dan mentauhidkanNya. Sementara Najib pula tidak payah dan tidak perlu rakyat memberikan pujian itu. Beliau boleh puji dan ‘mentauhidkan’ dirinya sendiri. Najib sudah penat menunggu pujian tetapi tidak kunjung juga tiba, maka beliau terpaksa memuji diri dan kebolehan beliau sendiri. Kalau hendak di sebut dalam bahasa dan peribahasa yang mudah ia berbunyi, ‘masuk bakul angkat sendiri’. Begitulah bunyi nya lebih kurang.
Najib memuji dirinya sendiri seolah-olah beliau mampu mengalih dunia ini. Beliau bercakap dan berkempen seolah-olah beliau boleh menentukan nasib bangsa Melayu dan rakyat Malaysia di dunia sampai akhirat. UMNO lah yang boleh menentukan syurga dan neraka bagi orang Melayu dan tidak ada pihak lain yang berkemampuan seperti kemampuan UMNO itu. Nasib semua orang ada ditangan UMNO.
Muhyiddin Yassin pula berkata jika menolak UMNO ia serupalah seperti menolak rezki.
Katanya (Muhyiddin) jika mengundi dan memberi mandat kepada UMNO setidak-tidaknya dapat juga bantuan BRIM. Rupanya yang UMNO gila-gila berkempen siang dan malam ini ialah untuk memperjuangkan BRIM sahaja dan ini lah rupanya Program Transformasi Ekonomi nya itu.
Najib seperti juga Abdullah dan pimpinan yang lain dalam UMNO itu. Mereka ini ‘bergurukan’ Dr Mahathir. Mahathir tidak mahu rakyat bersusah payah untuk berfikir. Hanya Dr Mahathir dan ‘disciple’ beliau dalam UMNO itu sahaja layak untuk berfikir. Orang ramai hanya perlu mengikut sahaja pemikiran dan tindak tanduk beliau. Apabila pucuk pimpinan UMNO berkata yang hanya UMNO sahaja yang boleh menentukan nasib orang Melayu itu dunia dan akhirat maka orang ramai mesti ikut. Tiada yang lain yang perlu di ikut selain dari UMNO.
Rupa-rupanya UMNO juga mempunyai amalam ‘nafi isbat’ nya. Jika orang mukmin mengaku ‘tiada Tuhan selain dari Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah’, UMNO ada amalan dan wiridnya juga, ‘Tiada yang lain yang boleh menjamin masa depan Melayu dan rakyat, selain dari UMNO dan ahli-ahli UMNO yang tidak tahu berfikir itu adalah pesuruhnya’. Itu lah kehendak Najib yang bergurukan Dr Mahathir itu.
Begitu lah jauhnya tersasar sikap dan perjuangan kepimpinan UMNO hari ini. Tiada parti lain yang pandai selain dari parti UMNO. Tetapi orang Melayu duduk di takuk lama juga. Sampai ke hari ini Melayu tidak mempunyai ‘consequence’ apa-apa dalam bidang pembangunan dan ekonomi nya selain dari mereka yang masuk dalam gulungan kroni-kroninya yang tamak dan haloba itu.
Sesungguhnya pucuk pimpinan UMNO sejak tiga puluh tahun dahulu tidak mahu merasakan denyut jantung dan perasaan rakyat. Rakyat di biarkan terhimpit pemikiran dan perasaan mereka sehinggakan sudah sampai ke tahap mereka (rakyat) tidak lagi sanggup menahan perasaan marah dan tidak puas hati yang tidak nampak usaha untuk memperbaikinya.
Kini rakyat sudah nekad untuk berubah dan akan melakukannya sendiri dengan menggunakan kuasa mutlak mereka sebagai penentu kepada masa depan negara ini. UMNO tidak mampu untuk berubah untuk memperbaiki diri. Justeru UMNO wajar duduk di petak pembangkang barang sepuluh atau lima belas tahun untuk memperbaiki diri dan lakukan ‘introspeksi diri secara intensif’ semasa zaman rihatnya nanti.
Bagi UMNO menjadi pembangkang tidak perlu di tangisi kerana menjadi pembangkang itu bukannya menjadi penjenayah. Malahan jika UMNO itu terus berkuasa parti itu akan mengembangkan budaya jenayah kepada politik dan ekonomi negara tanpa had.
Kita mesti berubah kerana yang akan merasakan bahagia dan celaka nya nanti ialah kita dan generasi kita sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan