SHAH ALAM - Sering kita mendengar perumpamaan, makin lama makin berisi, jauh berjalan luas pengalaman.
Mungkin itu ungkapan ringkas bagi menggambarkan mengapa muka-muka lama atau penyandang kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) sebelum ini masih disenaraikan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Selain daripada mengimbangi, pemimpin-pemimpin berdarah dan jiwa muda, calon-calon lama ini tentunya lebih banyak "makan garam" dalam dunia politik dan tadbir urus negara.
Mereka ini juga pemimpin-pemimpin besar yang sudah ada pengikut yang tersendiri.
Bagi pemimpin yang lama dalam Pas, pernah beberapa penggal menjadi Ahli Parlimen, Mohamad Sabu, diberi satu lagi lagi peluang bertanding di kawasan Parlimen Pendang mungkin adalah satu kelebihan kepadanya.
"Kempen berjalan lancar," katanya kepada Sinar Harian Online.
Menceritakan kempen minggu kedua ini akan digunakan sepenuhnya, Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, semuanya menjadi mudah kerana rata-rata rakyat sudah menerima parti itu.
"Rakyat umumnya menolak Umno-BN. Mereka gembira dengan manifesto Pakatan Rakyat," ujar Timbalan Presiden Pas itu.
Menurut Mat Sabu, beliau menggunakan pendekatan isu-isu nasional untuk menawan hati pengundinya.
"Rakyat ini mereka lebih tertarik kepada isu kapal selam, NFC (National Feedlot Corporation), lembu...
"... tawaran caruman kepada wanita, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) berjaya tarik perhatian mereka," ujar beliau.
Untuk rekod, Mat Sabu menang dalam PRU tahun 1990 di Parlimen Nilam Puri dan kerusi Parlimen Kubang Kerian dalam PRU tahun 1995.
Pada PRU 1999, beliau menang Parlimen Kuala Kedah, tetapi tewas di Kuala Terengganu dalam PRU 2008 kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.
Sementara itu, bagi penyandang kerusi Parlimen Rasah dari DAP, Anthony Loke Siew Fook yang kini menjadi calon di Parlimen Seremban, Pas dan PKR katanya memainkan peranan untuk sama-sama menyelaraskan kempen di kawasan berkenaan.
"Dalam minggu ini ceramah akan diperhebatkan lagi.
"Mesej utama kita ialah membawa perubahan dan manifesto Pakatan Rakyat menunjukkan bagaimana kita mahu mengurangkan kos hidup," jelasnya.
Pada penggal lalu beliau diberi mandat oleh masyarakat di kawasan Parlimen Rasah dan sebelum itu pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi kawasan Lobak.
Menurut penyandang kerusi Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rasyid Shirlin, baki tempoh kempen yang masih tinggal digunakan sepenuhnya dan mengambil pendekatan tidak memandang rendah pihak lawan.
"Kita di Barisan Nasional juga tidak mengamalkan politik pembunuhan karakter, caci maki dan memburukkan calon lawan.
"Itu bukan budaya kita," ujar beliau.
Menurut Rosnah, pertandingan pada PRU13 ini mestilah dijadikan sebagai pertandingan yang berhemah.
"Nasihat saya kepada pengundi, jangan salah pilih," tambah beliau.
Sementara itu, bagi penyandang kerusi Parlimen Shah Alam yang akan berhadapan calon mesra BN, Datuk Zulkifli Noordin, beliau sentiasa memastikan siri kempennya tidak menyimpang daripada prinsip parti yang diwakilinya.
"Apa yang saya perjuangkan adalah berdasarkan Islam, prinsip ini yang saya pegang untuk terus menjadi wakil rakyat," ujar Khalid Samad.
Bagi calon BN untuk Parlimen Alor Setar, Datuk Seri Chor Chee Heung, beliau akan menggunakan sepenuhnya pengalaman bagi memastikan kerusi Parlimen yang disandangnya itu akan meraih kemenangan.
"Saya sentiasa menekankan bahawa PRU13 ini semua rakyat Kedah harus membuat satu kesan yang boleh memastikan kerajaan yang akan ditubuhkan dapat membela nasib rakyat," ujar beliau.
Tambahnya, masalah pentadbiran yang berlaku di Kedah memberi peluang dan kekuatan kepada BN untuk merampas semula negeri berkenaan daripada Pas.
"Setakat ini Kedah ditadbir kerajaan Pas selama lima tahun rakyat Kedah hidup dalam satu keadaan tidak puas hati. Kerajaan negeri tidak bantu rakyat langsung. Saya rasa kalau BN menang, BN akan mampu menaikkan taraf rakyat di Kedah," katanya lagi.
Chee Heung yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan berhadapan perlawanan empat penjuru dengan Gooi Hsiao Leung daripada PKR, Abdul Fisol Mohd Isa (Berjasa) dan Jawahar Raja Abdul Wahid daripada Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan