HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Mei 2013

Polis tunggu analisis dakwat kekal

Wartawan Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu laporan siasatan dan analisis dakwat kekal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan segelintir pihak bahawa dakwat yang digunakan untuk pengundian awal anggota polis bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kelmarin boleh dibasuh dengan mudah.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya juga mengesahkan menerima laporan polis daripada dua Naib Presiden PKR, Tian Chua di Balai Polis Jinjang dan Nurul Izzah Anwar, di Balai Polis Travers, kelmarin.

“Siasatan masih dilakukan oleh SPR berhubung perkara itu, sehingga kelmarin kami hanya menerima dua laporan polis dibuat oleh dua calon parti yang bertanding pada PRU13,” katanya.

Laporan polis itu dibuat setelah sebuah portal berita melaporkan dakwat yang sepatutnya kekal selama sekurang-kurangnya tujuh hari hilang apabila seorang anggota tentera membasuh tangannya dengan air beberapa jam selepas mengundi.

Dakwat kekal digunakan buat pertama kali pada PRU13 ini bagi memastikan pengundi tidak mengundi dua kali walaupun tiada kes seumpama itu dilaporkan pada pilihan raya umum sebelum ini.

Dalam kenyataan Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria sebelum ini, SPR membuat beberapa ujian kelmarin dan hasilnya jari mereka yang telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya digoncang lebih kekal dakwat itu di jari mereka dibandingkan dengan botol yang tidak digoncang.

Dakwaan dakwat kekal yang dicalit pada jari seorang pengundi awal mudah hilang dengan membasuh jarinya mungkin disebabkan kegagalan sebahagian petugas SPR mematuhi cara penggunaan dakwat itu.

Dalam perkembangan lain, polis menyiasat perbuatan seorang wakil kepada calon parti yang mengunci sembilan peti undi di sebuah pusat pengundian awal PRU13 di Port Dickson, Negeri Sembilan, kelmarin.

Ramli berkata, kejadian berlaku pada jam 7.10 malam dan selepas siasatan awal, individu itu dibebaskan dengan ikat jamin.

“Individu itu bertindak mengunci sembilan peti undi tanpa kebenaran daripada Penolong Pegawai Urusetia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas di pusat berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan: