DR ISMAIL, MUKHRIZ , MAHDZIR, AHMAD
Sebaik penamaan calon 20 April lalu, ada pihak menyifatkan percaturan itu sebagai usaha parti untuk menang, tidak kurang juga cakap-cakap nakal yang mendakwa strategi itu mahu mencantas atau menamatkan karier politik pemimpin tertentu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), PR memberi sentuhan baru terhadap dua calon apabila Datuk Dr Ismail Salleh diletakkan di kerusi Parlimen Jerlun yang sebelum ini menang di kerusi Dun Alor Mengkudu.
Calon PKR, Datuk Ahmad Kassim ‘diterbangkan’ ke Dun Kuah (Langkawi) selepas berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kuala Kedah penggal lalu.
Kedua-duanya adalah penyandang kerusi yang dimenangi pada PRU12 tetapi adakah ini adalah strategi di tempat baru? Ada juga dakwaan kedua-dua bekas wakil rakyat itu tidak lagi diperlukan dalam parti dan ini antara strategi untuk mencantas mereka.
Faktor penolakan Dr Ismail dikaitkan dengan krisis exco pada Februari 2012 apabila bersama Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi enggan mengangkat sumpah jawatan kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyelesaikan isu pentadbiran.
Sejak itu, wujud persepsi kononnya Azizan-Phahrolrazi/Ismail berseteru dan wujud puak dalam Pas Kedah.
Dr Ismail berkata, berubah kerusi ditandingi di Dun atau parlimen adalah lumrah dan mungkin disesuaikan dengan kehendak semasa.
“Mungkin kali ini khidmat saya diperlukan untuk kuatkan sokongan di Parlimen Jerlun yang sebelum ini dikuasai Datuk Mukhriz Mahathir selepas lima tahun berkhidmat sebagai exco dan Adun Alor Mengkudu,” katanya.
Sebelum ini, diuarkan Dr Ismail tidak tersenarai sebagai calon PRU13 namun campur tangan kepimpinan pusat menyebabkan beliau tersenarai di saat akhir.
Tidak mustahil ini antara usaha mengakhiri karier politiknya di Kedah tetapi Dr Ismail menolak kemungkinan itu sebaliknya menyifatkannya sebagai positif.
“Saya tak nampak ada usaha ke arah itu. Itu sekadar khabar angin sebab saya yakin peluang kali ini lebih baik. Bukan nak membangga diri, jika calon muda seperti saya yang ada pengalaman dan kelayakan dipinggirkan, ia suatu kerugian,” katanya.
Faktor Ahmad ditukarkan ke Dun Kuah pula dikaitkan dengan kehendak parti untuk meletakkan anak tempatan di kerusi itu bagi menggempur kubu kuat Umno.
“Saya ingin mencipta sejarah dengan menang kerusi Dun Kuah, sejak sekian lama dikuasai BN,” kata anak kelahiran Bendang Baru, Kuah.
Bagi BN, meletakkan Datuk Ir Nawawi Ahmad di kerusi Parlimen Langkawi dari Dun Kuah, bukan suatu kelebihan sebaliknya membimbangkan kerana desakan akar umbi yang mahu muka baru diketengahkan.
Sumber berkata, kedudukan Dun Ayer Hangat yang ditandingi Mohd Rawi Abd Hamid menjanjikan kemenangan, namun tidak bagi Dun Kuah dan Parlimen Langkawi.
Begitu juga di Parlimen Jerlun yang menyaksikan calon kitar semula diletakkan menentang Dr Ismail.
“Ramai terkejut Datuk Othman Aziz dicalonkan semula tetapi bukan di Dun Ayer Hitam, sebaliknya di Parlimen. Sebelum ini beliau tewas kepada Abdul Ghani Ahmad di Dun terbabit, ramai meramalkan beliau bukan calon boleh menang,” katanya.
Pertukaran Mukhriz dari Parlimen Jerlun ke Dun Ayer Hitam juga agak mengejutkan walaupun sudah diramal sejak awal.
Namun Mukhriz optimis ia tidak akan menjejaskan sokongan rakyat di Parlimen Jerlun walaupun Othman menggantikan tempatnya.
“Keputusan pada 5 Mei ini akan memihak kepada BN. Pertukaran saya ke Dun juga tiada masalah, selepas ini saya lebih dekat dengan pengundi dan akan fokus isu setempat, berbanding ketika menjadi ahli parlimen,” katanya.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid atau lebih mesra dengan panggilan Tok Det, seperti diduga mengubah haluan ke Parlimen. Ramai yang menyambut positif kerana menyifatkan sudah tiba masanya untuk beralih angin selepas Kedah ditawan PR.
“Jika Tok Det ditolak rakyat Kedah, lebih baik beliau tumpu isu nasional di peringkat parlimen. Beliau orang lama dalam politik dan kini sesuai diketengahkan di peringkat lebih tinggi,” kata sumber.
Penghijrahan Datuk Tajul Urus Mat Zain dari Dun ke Parlimen Tanjong Dawai juga memeranjatkan kerana sebelum ini diuarkan tidak tersenarai sebagai calon, namun nampaknya penangan orang lama masih diperlukan di kawasan Kuala Muda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan