HALAMAN SANTAI

Rabu, 1 Mei 2013

Wan Azizah turut persoal ketahanan dakwat kekal

ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD

 Wan Azizah Wan Ismail
Wan Azizah Wan Ismail 
 
KUALA LUMPUR - Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mempersoalkan ketahanan dakwat kekal yang dicalit pada jari pengundi awal, semalam.

Beliau mendakwa dakwat tersebut mudah tertanggal dengan hanya beberapa kali basuhan.

"Saya dengar undi awal bermasalah, jari yang dicelup, dibasuh dengan sabun hilang, tak kekal rupanya.

"Jadi saya ingatkan kepada tuan-puan, pada 5 Mei nanti, kita semua ada telefon bimbit, ambil gambar benda-benda yang dibuat tidak betul," katanya di hadapan 250 orang penyokong Pakatan Rakyat (PR) di Bandar Tun Razak.

Beliau turut mendakwa senarai nama yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  juga tidak sama seperti yang diberikan kepada parti politik.

"Ada orang kata namanya hilang, walaupun sudah lama mengundi di kawasan itu, dan terdapat juga senarai nama yang dikeluarkan tidak sama dengan senarai sebenar," katanya.

Semalam, seramai  161,251 anggota tentera dan pasangan serta 111,136 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing mengundi awal di 544 pusat mengundi.

Dr Wan Azizah dalam ceramahnya turut menjelaskan yang dirinya tidak kemaruk untuk menjadi isteri kepada Perdana Menteri.

"Ada orang kata saya dan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bekerja teruk-teruk sebab nak Anwar jadi perdana menteri. Takut-takutlah saya nak bawa beg tangan baru dan pakai cincin permata.

"Ini pilihan raya umum paling penting, kita mahukan perubahan, bukan sebab Anwar mahu jadi PM, sudah lebih 50 tahun mereka (Barisan Nasional) memerintah banyak penyelewengan jadi jangan dibiarkan berlarutan," katanya.

Pada ceramah itu turut disertai penyandang kerusi Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan calon DAP Dun Balakong, Eddie Ng Tien Chee.

Tiada ulasan: