HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Julai 2013

Antara Kuala Besut dan pembangunan kosmetik OKU

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Sekretariat Prihatin OKU terpanggil untuk memberi pandangan tentang kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut pada 24 Julai lalu.

“Selain mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan tersebut, kami mengimpikan amalan belian undi dengan projek mencecah setengah billion ringgit sepanjang kempen PRK Kuala Besut tidak lagi dijadikan amalan setiap kali datangnya PRK,” ujar Pengerusinya, Mohammad Faizal Che Yusof.

Katanya, kerajaan yang diterajui parti pemerintah tidak seharusnya berterusan menjadikan perancangan dan perlaksanaan pembangunan berteraskan potensi menang dalam pilihan raya.

Beliau berkata, amalan yang ada sebagaimana ditunjukkan oleh parti BN hanya akan merugikan rakyat yang lebih besar jumlahnya yang tidak terlibat dalam PRK.

“Kami membangkitkan bagaimana perencanaan dan pembangunan OKU dalam negara yang kebanyakan dari OKU terus mengharapkan sesuatu yang lebih baik dari sekadar kosmetik,” katanya dalam satu kenyataan.

Baginya, apa yang berlaku di Kuala Besut membuktikan bahawa kerajaan dapat dan hanya menyegerakan pembangunan yang besar bilamana ia memberi kelebihan kepada parti menerajui kerajaan iaini BN.

Justeru, ujarnya jika benar kerajaan serius membangunkan rakyat terutamanya OKU dan bukan sewaktu PRK semata-mata, pertimbanglah sekurangnya hal-hal berikut untuk dilaksanakan:

1.    Pusat khidmat pembangunan OKU di setiap negeri yang diketuai oleh OKU.
2.    Kajian semula kadar Alaun Pekerja Cacat yang tidak lagi sepadan atau wujudkan satu alaun khas kecacatan.
3.    Gerakkan dengan sewajarnya Majlis Kebangsaan OKU dan bukan hanya dijadikan paparan bahawa OKU telah cukup segalanya.

Tambahnya, harus diinsafi, cabaran yang mendepani OKU dan ahli keluarga kian kompleks dan ia amat memerlukan perhatian yang lebih khusus dari kerajaan.

Tiada ulasan: