Wanita yang ingin dikenali sebagai Guneswari itu mempunyai seorang anak perempuan yang belajar di Sekolah Kebangsaan Seri Pristina itu diberitahu mengenai perkara itu oleh pemandu van sekolah anaknya pada Sabtu lalu.
Semalam, Guneswari melawat sekolah itu dan terkejut dengan apa yang dilihatnya.
"Murid bukan Islam diletakkan dalam bilik persalinan, yang bersebelahan dengan tandas.
"Pintu menuju bilik persalinan ditutup, tiada aliran udara. Bau dari tandas amat kuat," katanya kepada The Malaysian Insider.
Berang kerana anaknya dilayan sedemikian, Guneswari menuntut penjelasan daripada pihak berkuasa sekolah. Beliau bertemu dengan penyelia petang sekolah.
Bagaimanapun, selepas tiada maklum balas daripada sekolah, Guneswari membuat keputusan untuk mendedahkan perkara itu. Gambar yang dipamerkan di laman sosial Facebooknya itu tersebar luas di internet dan kini dikongsi oleh 3,000 orang.
Guneswari juga mendakwa kantin itu tidak ditutup untuk kerja ubah suai.
"Anda boleh lihat di Facebook saya. Tidak ada apa-apa pun yang berlaku di kantin," katanya.
Sementara itu, Mastura Abdullah Sani, 22, salah seorang ibu yang menghantar anak bersekolah di situ, berkata beliau terkejut apabila mengetahui murid bukan Islam diarahkan makan di bilik persalinan sekolah.
"Ada banyak lagi cara lain yang lebih baik dan jika ia bulan puasa sekali pun, tidak ada salahnya membenarkan murid bukan Islam makan di kantin,” katanya.
Ibu bapa yang menjemput anak mereka daripada sekolah petang tadi keliru mengapa pihak berkuasa sekolah bertindak sedemikian.
"Ini salah," kata seorang ibu yang ingin dikenali sebagai Zarimah.
"Saya tahu awalnya murid dibenarkan menggunakan kantin, tetapi tiba-tiba kantin tutup. Mereka sepatutnya boleh menggunakan bilik darjah berbanding bilik persalinan," katanya.
Beberapa ibu bapa mendakwa murid tidak dibenarkan masuk ke kantin selepas pengendalinya menutup kedai sempena bulan puasa. Pihak berkuasa sekolah kemudian mengikat pita merah di sekeliling premis itu bagi menghalang kanak-kanak menggunakan tempat itu.
Selepas gambar di Facebook itu tersebar luas, wakil rasmi Kementerian Pendidikan datang ke sekolah tengah hari tadi dan memeriksa bilik persalinan dan kantin selain bercakap dengan pentadbiran sekolah.
Timbalan menterinya, P Kamalanathan kemudian berkata, pihaknya sudah mengerahkan sekolah supaya tidak mengarahkan murid bukan Islam makan di bilik persalinan itu.
Laporan polis berhubung kejadian itu turut dibuat di Balai Polis Sungai Buloh, petang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan