Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, syarikat yang membekalkan dakwat kekal dan topi adalah berbeza akan tetapi tidak menyatakan secara spesifik sama ada ia mempunyai kaitan dengan Mohamed Salleh Mohd Ali atau tidak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga menyelar Rafizi Ramli yang menyebut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mempunyai kaitan dengan pembekal dakwat kekal namun tidak berani menyebut nama individu berkenaan di luar Dewan Rakyat.
“Rafizi juga harus tahu syarikat yang membekalkan dakwat adalah berlainan dengan syarikat yang membekal topi dan t-shirt. Saya masih membisu dan dia yang sendiri membuat kesimpulan.
“Rakyat boleh percaya pada pembohongan itu namun saya tidak percaya kerana saya tahu siapa pembekalnya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen petang ini.
Katanya, beliau tidak pernah menyebut syarikat pembekal dakwat kekal namun hanya menjelaskan syarikat yang membekalkan kemeja T dan topi kepada SPR pada pilihan raya umum ke-13 lalu.
Dalam pada itu, beliau yang baru pulang dari Kuala Besut berkata kini muncul satu ura-ura dakwat kekal yang tidak boleh dibawa sembahyang.
"Jika sebelum ini ada yang mendakwa dakwat tidak kekal, namun apabila dilihat dakwat kali ini lebih kekal ada yang mula mendakwa dakwat berkenaan tidak boleh dibawa sembahyang.
"Seperti yang kita tahu Jakim mengharuskan penggunaan dakwat kekal jadi tidak timbul sama ada boleh dibuat sembahyang atau tidak. Pengundi tidak perlu takut dengan dakwaan mana-mana pihak untuk keluar mengundi," katanya.
Beliau berkata, berhubung kandungan nitrat perak dalam dakwat kekal yang akan digunakan dalam pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut, beliau mengumumkannya di Parlimen selepas PRK nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan