| Salmiyah Harun, |
PULAU PERHENTIAN: Merentasi Laut China Selatan, menuju ke sebuah pulau yang cukup terkenal dengan pantai dan airnya biru kejernihan. Sesekali bot dilambung ombak sesekali terasa percikan air ke muka, juga tempuhan angin seolah-olah 'menampar' muka penulis.
40 minit berada di atas bot terasa baru 10 minit, akhirnya penulis tiba di jeti Pulau Perhentian Kecil, dari jauh kelihatan deretan rumah kampung milik lebih 1,000 penghuni.
Jeti konkrit yang menyambut bot penambang cukup teguh tidak lagi jelas dek dihalang oleh poster-poster parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil 24 Julai ini.
Jam 9.00 pagi, suasana di sini agak sunyi mungkin kerana bulan puasa pada anggapan penulis, tapi menurut penduduk di sini memang suasana di waktu pagi agak sunyi.
Menjejaki lorong-lorong kecil di celah-celah rumah penduduk, penulis merasakan hubungan mereka cukup akrab. Jarak antara rumah ke rumah begitu rapat sehinggakan percakapan jiran sebelah boleh dengar satu persatu.
"Bakpo tu? Bila tengah hari jah, cucu nangis. Panas tu," sapa seorang makcik dengan loghat Kelantan kepada jirannya di hadapan yang sedang memujuk cucunya yang menangis.
"Tok tahulah, puah pujuk doh ni. Tok sir berhenti nangis," balas jiran makcik itu, menarik penulis menjenguk-jenguk melihat gerangan siapa yang bercakap.
Betapa dekat, mereka boleh sampuk menyampuk masing-masing di antara mereka.
Jam 5.00 petang kelihatan kanak-kanak dalam usia empat hingga 12 tahun mula keluar perlahan-lahan menuju ke pantai untuk bermain-main sesama mereka.
Di situ, kelihatan pondok kecil dan sebuah bot usang yang tersadai menjadi barang mainan mereka memenuhi masa petang yang terluang.
Kebetulan, di saat itu mereka mungkin bertuah kerana ada yang sudi menyantuninya. Satu kumpulan anak muda dari PAS Ameerah Muslimat sudi mengatur aktiviti kanak-kanak ini, kumpulan ini sudah tiba di pulau seawal pagi untuk memenuhi ruang masa senggang kanak-kanak di sini.
Pelbagai aktiviti yang disediakan buat lebih 30 orang kanak-kanak ini, gunting rambut serta bertindik diberikan secara percuma kepada mereka sebelum mengadakan acara sukaneka.
Penulis terpanggil untuk menghampiri sekumpulan kanak-kanak yang hampir sebaya kesemuanya sedang leka bermain mercun yang kemudian dilemparkan ke dalam laut menenggelamkan suara kegembiraan kanak-kanak lain yang bermain.
Tiba-tiba tidak disangka, datang seorang budak mungkin darjah empat terus menyapa penulis "sedap dok suara sayo nyayi tadi, suaro sayo tu,".
Penulis terus tergamam, kerana tidak pernah bersua apatah lagi berbual dengan budak itu. Sikap peramah yang ditunjukkannya yang memakai baju jersi itu membuatkan penulis kagum.
Lalu penulis terus memuji beliau "suara awok meme best, boleh masuk idola kecil la, hok dale tv tuh," lalu budak lelaki itu tersenyum malu.
Tidak sampai 10 minit penulis duduk bersama-sama lebih 10 kanak-kanak berusia sembilan ke 12 tahun itu, hubungan kami bertambah mesra bagaikan mak dengan anak, kakak dengan adik.
Sambil melayan karenah anak-anak pulau ini, tidak semena-mena mereka menunjukan telefon samsung yang penuh dengan klip video yang dirakam oleh mereka.
Klip video menunjukkan mereka sedang 'miming' lagu 'Aku Anak Jalanan' yang sedang popular di Indonesia. Terhibur melihat kreatifnya mereka itu. Bukan setakat itu, video yang dilakonkan semula oleh anak-anak ini dari sedutan filem 'KL Gangster'.
Ternyata, anak-anak pulau ini ruang mereka cukup terhad seperti disisihkan, kerana hanya aktiviti seperti ini sahaja yang mampu dirasai mereka. Bila petang, mereka bermain berkejar-kejar sesama mereka. Tidak ada taman permainan, puas berlari-lari, melompat-lompat lalu terjun ke laut pula. Begitulah permainan mereka sehingga malam menjelma.
Penulis turut tercari-cari di manakah lagi generasi belia remaja di Pulau Perhentian ini, hendak kata mereka bermain futsal, tidak ternampak pun gelanggang futsal di sini. Di manakah mereka?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan