HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Julai 2013

Kuala Besut: Akhirnya rakyat menang

Hambali Akram,


PRK Kuala Besut merupakan yang pertama selepas PRU13. Kita tidak tahu akan ada lagikah PRK lain sehingga PRU14 nanti. Sememangnya keputusan PRK ini dinantikan dengan penuh debar oleh kedua-dua belah pihak kerana bakal menentukan nasib kerajaan Terengganu selepas ini.

Walau bagaimanapun dari sudut yang lain, keputusan PRK Kuala Besut, sama ada PAS mahupun BN yang menang, hakikatnya rakyatlah yang menang. Rakyat menang kerana kedua-dua belah pihak akan melakukan apa-apa sahaja untuk memenangi hati pengundi. Lebih-lebih bagi pihak yang memegang kuasa seperti BN.

Hal ini kerana, setiap kali berlangsungnya PRK, pihak kerajaan yang diterajui BN akan menabur pelbagai tawaran pembangunan, di samping imbuhan segera sama ada wang ringgit, geran, rumah dan sebagainya. Tidak hairanlah, jumlah bantuan segera yang ditawarkan lebih RM300 juta.

Inilah untungnya ada persaingan. Diandaikan kawasan ini 100 peratus bakal dimenangi BN, maka tidaklah mereka beria-ia menawarkan itu dan ini. Apabila adanya persaingan, maka setiap pihak tidak ada pilihan dan terpaksa memberikan tawaran yang terbaik.

Namun, dari sudut positif, jika rakyat dapat berfikir selangkah ke depan, bahawa inilah peluang terbaik untuk mereka meminta apa-apa sahaja yang difikirkan layak untuk dipohon.

Dari sudut lain, saya juga berharap suatu hari nanti, rakyat Malaysia akan celik politik dan benar-benar memahami hak mereka sebagai rakyat yang membayar cukai. Jika ini berlaku, mana-mana parti yang menerajui kerajaan, sudah tentu tidak akan hanya menabur janji dan menunjuk muka hanya pada musim pilihan raya dan PRK.

Dalam suasana kematangan politik yang separuh masak seperti Malaysaian hari ini, ada kalangan rakyat yang berharap berlaku PRK di kawasan mereka. Melaluinya, mereka bakal memperoleh pelbagai durian runtuh dan segala keluhan bakal diberi perhatian.

Tiada ulasan: