KUALA LUMPUR - MCA tidak pernah meminggirkan mana-mana pelajar cemerlang yang membuat rayuan menerusi Biro Pendidikan Pemuda parti itu berikutan kegagalan mereka mendapat sebarang tawaran di IPTA tanpa mengira kaum serta keanggotaan parti ibu bapa mereka.

Ketua Pemudanya, Datuk Wee Ka Siong berkata, pihaknya berlaku adil dalam setiap rayuan yang diterima dan diuruskan secara teliti berdasarkan kelayakan keputusan peperiksaan serta latar belakang kewangan pemohon.

Sebelum rayuan dibuat, katanya seseorang pelajar itu dikehendaki menyertakan salinan keputusan peperiksaan, salinan kad pengenalan, pekerjaan serta pendapatan sebulan ibu bapa mereka bagi memudahkan proses biro itu membuat analisis dan membantu mendapatkan pilihan kursus pelajar.

"Daripada 361 rayuan, ada juga yang terdiri daripada pelajar India serta ibu bapa mereka bukan merupakan anggota parti.

"Tidak ada langsung daripada mereka yang dipinggirkan kerana selama ini kami sangat mengalu-alukan rayuan daripada semua orang tidak kira kaum dan latar belakang," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ka Siong berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Bahagian MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai yang mendakwa biro pendidikan parti itu hanya mengutamakan anak-anak anggota parti  yang membuat rayuan untuk masuk ke IPTA.

Semalam, Kee Chai dilapor akhbar berbahasa Mandarin sebagai berkata bahawa Biro Pendidikan MCA hanya memberi keutamaan kepada anak-anak anggota parti dalam menyelesaikan masalah rayuan pelajar cemerlang ke IPTA.

Ka Siong yang juga Ketua Biro Pendidikan Pemuda menegaskan beliau tidak akan sekali-kali membenarkan mana-mana pemimpin ataupun anggota jawatankuasa yang menguruskan kes rayuan itu berbuat demikian.

"Jika pucuk pimpinan parti yang meminta kami berbuat demikian, sayalah orang pertama yang akan membantahnya," katanya.

Tambah beliau, semua rayuan yang diterima disusun dan dianalisiskan sebelum membawanya kepada Kementerian Pendidikan untuk dikaji semula.

"Kami kini menunggu masa untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan," katanya.

Sementara itu, Ka Siong yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan mencadangkan Kementerian Pendidikan mempercepatkan proses pengambilan 460 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) bagi menggantikan guru interim di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara.

Beliau berharap Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dapat menyegerakan proses temuduga untuk semua GSTT yang baru menamatkan kursus perguruan dan mengelak daripada mengambil masa lama untuk menunggu panggilan 'posting'.

“Langkah ini berupaya untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru terutama di SJKC yang memerlukan lebih 400 guru sekarang," katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai keinginan untuk bertanding dalam mana-mana jawatan pada pemilihan parti yang akan diadakan pada Disember ini, Ka Siong berkata, sekarang bukan masa yang sesuai baginya untuk memikirkan perkara ini.

"Sekarang saya hanya mahu menumpukan perhatian kepada Biro Pendidikan Pemuda iaitu memastikan setiap pelajar yang membuat rayuan mendapat kursus pilihan mereka di IPTA," katanya. - Bernama