Pentadbiran Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristina (gambar) di Sungai Buloh patut menangani masalah melalui pendekatan lebih wajar, kata beberapa bekas pendidik.
Guru bersara, Ng Yoke Keng, 64, berkata, guru pada zamannya sentiasa mendidik murid bukan Islam supaya tidak makan atau minum depan murid beragama Islam.
“Kami didik murid bukan Islam betapa kurang ajar jika berbuat demikian depan murid yang berpuasa," katanya.
Beliau mengakui kesungguhan pentadbiran sekolah itu untuk menghormati murid Islam yang berpuasa tetapi mereka patut memilih lokasi yang lebih baik kepada murid bukan Islam.
“Macam mana kita pandang gambar itu, ia tetap salah. Tidak patut mengarahkan murid menikmati juadah di bilik mandi," katanya.
Hampir di setiap sekolah, beliau yang sebelum ini mengajar di sekolah Cina, berkata satu bilik khas disediakan untuk guru bukan Islam untuk makan minum.
Ng menyifatkan kualiti guru pada masa ini 'sangat berbeza' tetapi meminta semua pihak jangan sampai menghukum hanya kerana 'sebiji pisang busuk dalam setandan.'
Bekas Pengetua St Michael's Institution Ipoh, Balasubramaniam Kuppusamy, 74, pula menyifatkan kejadian di SK Seri Pristina itu hanya kes terpencil.
"Belum ada gambaran tepat mengenai kejadian yang berlaku. Mungkin bilik mandi itu kelihatan sesuai kerana ada sinki untuk digunakan murid," katanya.
Jika benar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) meluluskan penggunaan bilik mandi itu, katanya, guru besar sekolah berkenaan mesti memaklumkan semua keluarga murid.
"Dengan itu, guru besar boleh dapat maklum balas yang membantunya membuat keputusan sama ada terus menggunakan bilik air itu atau sebaliknya," kata beliau.
Memberi penekanan kepada kepentingan budaya kehidupan, Balasubramiam percaya masalah itu tidak berlaku jika semua pihak memahami sensitiviti dan norma masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Golongan pendidik masa sekarang kurang kemahiran itu. Mereka memang ada mempelajarinya tetapi tidak sepenuh penghayatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan