HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Julai 2013

Menang di mahkamah, bilakah boleh berjumpa anaknya?

OLEH V ANBALAGAN, 
PENOLONG PENGARANG BERITA

Beliau bangkit menentang kerajaan dan mahkamah bagi tiga anaknya dan menang dalam keputusan penghakiman semalam.

Perjuangannya adalah untuk menghentikan tindakan suami menukar agama anak tanpa persetujuannya, hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, kata seorang peguam kanan, menyatakan kedua-dua ibu bapa mesti memberi persetujuan terhadap sebarang pertukaran.

Semalam beliau menang. Mahkamah Tinggi membatalkan penukaran agama tiga anaknya kepada Islam oleh seorang sahaja daripada ibu bapa.

Walaupun menang, apa yang beliau boleh fikirkan sekarang adalah anak ketiga dan bongsu yang beliau tidak pernah jumpa sejak bekas suami mengambil anaknya, bayi berumur satu tahun pada 2008. Mahkamah Tinggi pada 2011 menetapkan ibu mendapat hak penjagaan bagi ketiga-tiga anak.

“Sudah lima tahun dan saya rindu untuk bertemu dengan anak saya,” kata M Indira Gandhi kepada The Malaysian Insider. “Dia masih bayi pada ketika itu. Saya tidak tahu sama ada beliau masih ingat saya sekarang.”

Bercakap dalam bahasa Tamil melalui telefon, beliau berkata,”Peguam saya memfailkan prosiding penghinaan.”

Dua lagi anaknya, Tevi Darsiny, 14, dan Karan Dinish, 15, bersamanya. Mereka masih lagi Hindu kerana perjuangan panjang ibu mereka di mahkamah.

Indira berkata, keputusan mahkamah adalah kelegaan buat ibu sepertinya yang berhadapan dengan pelbagai halangan apabila isu penukaran agama berlaku.

"Ia bukan satu kemenangan bagi saya sahaja. Saya gembira mahkamah akhirnya membuat keputusan yang berani terhadap hak ibu bapa, " katanya.

Beliau merasakan bekas suaminya akan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi itu tetapi berkata:”Saya bersedia untuk mempertahankannya.”

Indira, seorang guru tadika, berkahwin dengan K Patmanathan 20 tahun dahulu mengikut ritual Hindu.
Enam tahun selepas perkahwinan, pada 11 Mac, 2009, suaminya masuk Islam dan menjadi Muhammad Ridzuan Abdullah. Sebulan selepas itu, beliau menukar agama ketiga anak-anaknya di Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam, Ipoh, Perak.

Penukaran agama itu tanpa pengetahuan isterinya.

Pada bulan sama, Mahkamah Syariah memberikan hak penjagaan ketiga-tiga anak kepadanya.

Mereka akhirnya bercerai dan suaminya mengambil anak bongsu yang berumur setahun bersamanya.

Indira kemudiannya ke Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan Mahkamah Syariah yang memberikan hak penjagaan anak kepada ayah dan pada Julai 2010, beliau menang kes walaupun terdapat bantahan keras Peguam Negara. Walaupun menang, suaminya tidak memulangkan anak perempuan bongsu mereka.

Dalam keputusan semalam, Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Swee Seng berkata, penukaran agama dibatalkan kerana ia tidak mengikut perlembagaan apatah lagi ia diberikan tanpa mendengar keterangan ibu kepada anak berkenaan.

"Perkara ini tidak mengikut perlembagaan kerana di bawah Artikel 3, 5 dan 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa ibu mempunyai hak sama rata dalam membesarkan anak untuk mengikut agamanya sendiri," katanya.

Beliau juga berkata, perkara itu tidak sah kerana Undang-Undang Syariah Perak sendiri menetapkan bahawa kanak-kanak perlu hadir untuk mengucapkan keimanan mereka.

Tiada ulasan: