Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu termasuk pemimpin politik dan pertubuhan yang masih mengamalkan ajaran syiah.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, tindakan akan diambil jika ada laporan daripada Majlis Agama Islam negeri atau pertubuhan bukan kerajaan Islam serta Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).
Katanya, KDN turut mengenal pasti dan mempunyai maklumat lengkap pemimpin politik Islam yang membuka jalan kepada gerakan syiah di negara ini.
"Kalau mereka (pemimpin politik) ingin menafikan (pembabitan dengan ajaran syiah) dalam kempen parti, silakan. Tetapi mereka mesti isytiharkan diri mereka dan jangan berselindung daripada mana-mana fahaman selain ajaran Al-Sunnah Wal Jamaah," katanya pada sidang media selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian zakat perniagaan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), malam tadi.
Semalam, KDN mengisytiharkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang berpandukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.
Ahmad Zahid berkata, KDN dan agensi di bawahnya seperti Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan dan Jabatan Imigresen akan meningkatkan pemantauan terhadap kegiatan itu.
Beliau berkata, kerjasama antara agensi agama dan kementerian yang berkaitan amat diharapkan dalam menangani dan menyekat fahaman selain Al-Sunnah Wal Jamaah daripada tersebar di kalangan masyarakat.
"Saya menyeru semua pihak termasuk rakyat Malaysia beragama Islam supaya tidak terbabit dengan sebarang kegiatan ini," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata KDN tidak akan campur tangan dalam soal hal ehwal agama negeri dan kuasa untuk berbuat demikian tertakluk di bawah kuasa Jakim untuk membuat pemantauan serta menyekat ajaran, penyebaran dan dakyah.
Mengenai implikasi pengharaman Pertubuhan Syiah Malaysia, beliau berkata tiada seorang pun boleh menggunakan semula nama pertubuhan itu untuk didaftarkan sebagai pertubuhan berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 7(3)(b) Akta Pertubuhan 1966. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan