Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi mencadangkan supaya pihak polis menggunakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA) bagi menggantikan Akta Ordinan Darurat (EO) yang telah dimansuhkan pada 2011.

Menurutnya, walaupun EO merupakan sebuah akta yang berkesan untuk menurunkan kadar jenayah, beliau bagaimanapun beranggapan bahawa, tindakan menahan seseorang yang tidak bersalah adalah tidak wajar.

"Kita mesti ingat, EO diwujudkan bagi menangani situasi pada 1969 iaitu peristiwa 13 Mei. Itu sahaja. Tetapi ia sangat berkesan. Saya boleh pastikan anda bahawa kadar jenayah boleh dikurangkan.

"Memandangkan masyarakat sekarang mahu mengurangkan kadar jenayah, bagi pendapat peribadi saya, saya rasa kita perlu fikirkan jalan pertengahan antara EO dan mungkin undang-undang yang tidak memerlukan beban bukti, sebagai contoh kita boleh gunakan PCA. Saya rasa kita boleh guna PCA.

"Tetapi kenapa pihak polis tidak mahu gunakan PCA, saya tidak boleh terangkan. Sejujurnya saya tidak tahu untuk terangkan. Mungkin bila ada EO sudah tentu tidak mahu menggunakan PCA kerana ia susah untuk dibuktikan. Sekarang EO sudah tidak ada tetapi mereka tidak libatkan PCO, saya tidak tahu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu perbincangan meja bulat bersama NGO, peguam dan ahli akademik di Universiti Malaya semalam.

Selain itu, Zaki yang pernah berkhidmat sebagai peguam kanan persekutuan di Kementerian Dalam Negeri selama sembilan tahun juga berkata, kekurangan anggota, peralatan dan kemudahan juga merupakan salah satu masalah yang dihadapi oleh pihak polis dalam menangani jenayah.

Menurutnya, berbeza di New York yang mempunyai tiga kali ganda anggota polis di dalam bandar tersebut, beliau turut meminta agar masyarakat tidak menuding jari kepada pihak polis berhubung peningkatan kadar jenayah.

"Saya pernah bersama dengan kementerian dalam negeri selama sembilan tahun dan pada tahap tertentu, saya rasa saya bertanggungjawab meletakkan ramai orang dibawah EO dan tahanan pencegahan.

"Saya rasa masalah yang dihadapi polis sekarang ialah mereka kekurangan anggota dan mereka tidak mempunyai kemudahan dan peralatan. Itu masalah besarnya.

"Ini adalah masalah yang dihadapi polis. Saya tidaklah kata bahawa kita perlu undang-undang tahanan pencegahan. Tetapi masyarakat tidak boleh menyerang dan menuduh mereka (polis), masyarakat perlu faham masalah yang dihadapi mereka," katanya lagi.