Muhamad
Iqbal bin Azmi
Isu utama Myanmar yang sendiri lakukan penghapusan etnik di Arakan

BARU-BARU
ini kita dihebohkan dengan berita sikap segelintir pelarian Rohingya di Pasar
Selayang sehinggalah kepada isu kerajaan Malaysia tidak menerima kemasukan 2
bot penuh pelarian Rohingya ke Malaysia. Perkara ini menjadi tumpuan golongan
aktivis kemanusiaan daripada pelbagai negara kerana bagi mereka, alasan
COVID-19 bukan basis yang kuat untuk membiarkan golongan ini terkapai-kapai di
tengah lautan.
Maka
banyaklah portal berita antarabangsa dan laman web aktivis hak asasi mengecam
tindakan Malaysia. Walhal, sejak 2012 lagi kita sudah menerima hampir 80,000
orang pelarian Rohingya di Malaysia dan bilangan ini meningkat ke hampir
100,000 lebih pelarian Rohingya yang berada di Malaysia. Antara hujah yang
digunakan oleh mereka adalah kerana Malaysia tidak menandatangani Konvensyen
Pelarian 1951(Refugees Convention 1951).
Jadi
apakah sebenarnya Refugees Convention 1951 ini dan apa kaitannya dengan
pelarian Rohingya? Jika anda perasan, bila kita bercakap mengenai pelarian
Rohingya, secara rasminya kita tidak gunakan istilah pelarian. Kita akan guna
istilah PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) atau ‘illegal immigrant’.
Sebenarnya,
PBB sudah sediakan satu set undang-undang antarabangsa khusus berkenaan dengan
pelarian (refugees) dan pencari suaka (asylum seeker) iaitu Konvensyen Pelarian
1951. Konvensyen ini bertunjangkan kepada Artikel 14 dalam Pengisytiharan Hak
Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of human right).
Mengikut
sejarah, tertubuhnya konvensyen ini disebabkan oleh kesan perang dunia kedua.
Perang dunia kedua telah menyebabkan ratusan ribu orang awam menjadi mangsa
pelarian. Mereka dari pelbagai negara telah dinafikan hak asasi seperti tempat
tinggal, kesihatan, pendidikan, dan kerakyatan.
Jadi,
bagi menjaga hak asasi pelarian akibat daripada peperangan, PBB telah
mengadakan konvensyen ini dan telah ditandatangani oleh 147 negara (2010).
Hanya 2 negara anggota ASEAN yang telah meratifikasi konvensyen ini iaitu
Filipina dan Kemboja. Malaysia merupakan negara yang tidak meratifikasi
konvensyen ni.
Maka,
Refugees Convention 1951 sudah menggariskan panduan dan menyenaraikan apa jenis
hak asasi manusia yang akan terpelihara apabila pelarian-pelarian ini lari ke
negara yang sudah menandatangani konvensyen.
Pelarian
ini tidak akan dikira sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan secara
tidak langsungnya mereka semua ini tak boleh diambil apa-apa tindakan berkaitan
dengan kemasukan ke negara secara haram. Perkara paling penting ialah negara
yang menumpangkan pelarian-pelarian ini tak boleh hantar mereka pulang ke
negara asal kerana kemungkinan besar mereka berisiko dibunuh dan undang-undang
ini terpakai tanpa mendiskriminasikan bangsa, agama dan negara asal pelarian
tersebut mengikut kepada Artikel 3 Konvensyen Pelarian 1951.
Secara
umumnya, Malaysia boleh dikatakan aktif dalam menjaga hak asasi pelarian
walaupun tidak termasuk dalam senarai negara yang meratifikasikan konvensyen
Pelarian. Sejak tahun 1970-an lagi, Malaysia sudah menerima pelarian dari
Mindanao, Kemboja, Vietnam, Bosnia, Acheh, Palestin dan kini Myanmar.
Mungkin
pembaca pernah dengar tentang sejarah Pulau Bidong di Terengganu yang
disediakan khas oleh kerajaan Malaysia untuk menempatkan sejumlah pelarian dari
Vietnam. Jadi tiada masalah bagi Malaysia untuk mengendalikan isu pelarian ini
walaupun tidak meratifikasikan konvensyen pelarian ini.
Hal
ini kerana sebagai negara yang merdeka dan berdaulat kita tidak perlu
terburu-buru untuk meratifikasikan semua konvensyen antarabangsa yang
bertentangan dengan budaya, agama dan norma masyarakat Malaysia. Kita tidak
perlu terlampau mengikuti dan terkongkong dalam kerongkong PBB yang secara
umumnya amat selektif dalam menyelesaikan beberapa isu.
Sebagai
contoh walaupun Myanmar merupakan antara negara yang meratifikasikan Konvensyen
Genosid 1948, tetapi mereka jugalah yang ‘membantai’ etnik Rohingya dan PBB
mengambil masa yang begitu lama dalam mengatasi masalah ini. Pokok permasalahan
kepada isu Rohingya ini pada Myanmar sendiri yang melakukan penghapusan etnik
di Arakan.
Justeru,
apa yang perlu dilaksanakan oleh Malaysia pada masa ini memperjelaskan dasar
dan polisi terhadap pelarian-pelarian yang ada di Malaysia ini. Hal ini kerana,
Malaysia tiada status yang jelas berapa lamakah pelarian-pelarian ini akan
tinggal, adakah mereka akan memperoleh kerakyatan atau adakah mereka akan
dihantar ke negara lain yang akan memberikan mereka kerakyatan.
*Muhamad Iqbal bin Azmi -Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan