Aktiviti libatkan orang ramai adalah dilarang, tidak dibenarkan

IPOH
– Semua 14 Taman Eko-Rimba milik Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan
terus ditutup sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian
susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu
bagi mengekang penularan COVID-19.
Antara kawasan itu adalah Taman
Eko-Rimba Taman Lata Kekabu, Lenggong; Taman Eko-Rimba Pulau Tali Kail,
Gerik; Taman Eko-Rimba Kledang Saiong, Meru, Ipoh; Taman Eko-Rimba Lata
Kinjang, Tapah dan Pusat Eko-Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Kuala
Sepetang, Taiping.
Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed
Zin Yusop, berkata turut ditutup sehingga satu tempoh adalah Bukit
Kledang di Menglembu dan Pusat Perkelahan Ulu Chepor, Chemor kerana
kawasan tersebut masih berstatus Hutan Simpanan Kekal walaupun pada
awalnya dibangunkan oleh orang awam.
Beliau berkata walaupun sebahagian
sektor ekonomi dan sosial termasuk pengurusan perhutanan akan mula
beroperasi esok selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
(PKPB), namun aktiviti ekopelancongan hutan tidak dibenarkan.
“Semua jenis aktiviti rekreasi, riadah,
perkelahan dan mandi-manda serta senaman yang melibatkan kehadiran orang
ramai adalah dilarang dan tidak dibenarkan.
“Larangan ini juga merangkumi aktiviti
pendakian, rekreasi sukan basikal lasak dan permotoran di semua laluan
pendakian yang terletak di Hutan Simpanan Kekal Negeri Perak serta
aktiviti senaman dan joging,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari
ini.
Katanya, pihak yang ingkar boleh
dikenakan tindakan di bawah Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984
(Pemakaian) 1985 atau di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit
Berjangkit 1988, Akta Polis 1967 dan Peraturan 7 serta Peraturan 11
Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit
(Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan