Muhyiddin zahirkan kesedihan atas pemergian Allahyarham

KUALA LUMPUR
– Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemergian pendakwah terkenal,
Allahyarham Datuk Ismail Kamus sebagai satu kehilangan besar kepada
dunia dakwah di negara ini.
Menzahirkan kesedihan atas pemergian
Allahyarham, Perdana Menteri berkata tokoh agama itu merupakan seorang
pemimpin yang banyak menyumbang kepada negara melalui kerja-kerja dakwah
yang dilakukan sepanjang hayatnya.
“Saya berasa amat sedih mendapat berita
Tuan Guru Ustaz Datuk Haji Ismail Bin Haji Kamus telah kembali ke
rahmatullah awal pagi tadi.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu
kehilangan besar kepada dunia dakwah di negara ini,” katanya menerusi
hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Muhyiddin turut mengucapkan takziah
kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya ditempatkan
bersama-sama orang yang soleh.
Pendakwah terkenal dan Pengasas
Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia itu meninggal dunia di
kediamannya di Ampang, di sini, kira-kira jam12.30 tengah malam tadi.
Berita pemergian tokoh ternama itu disahkan menerusi Facebook rasmi pendakwah berkenaan.
Allahyarham berusia 72 tahun sebelum ini
dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur akibat
serangan jantung dan strok ringan, serta jangkitan kuman di paru-paru.
Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal dari 1999 hingga
2004, pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. –
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan