HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Mei 2020

Kes kecemasan turun lebih 40% sejak PKP dilaksana, kata bomba

Mohammad Hamdan Wahid berkata, kes seperti lemas di sungai 
dan kebakaran rumah setinggan berkurangan, tetapi ada kes 
kebakaran rumah dalam skala kecil. (Gambar Bomba)
 
PUTRAJAYA: Jumlah kes kecemasan melibatkan kebakaran, kemalangan jalan raya dan penyelamatan di air turun lebih 40% sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau berkata, pihaknya membuat analisis terhadap kes kecemasan itu dan mendapati ia menurun kerana orang ramai tidak keluar rumah.

“Mereka semua duduk di rumah dan kes seperti lemas di sungai, kebakaran rumah setinggan juga berkurangan, tetapi ada juga kebakaran rumah yang berlaku dalam skala yang kecil.

“Biarpun penugasan bomba dalam isu Covid-19 semakin meningkat setiap hari, bomba tetap meneruskan operasi dan tugas lain seperti biasa (kes kecemasan, kebakaran dan lain-lain),” katanya kepada Bernama semalam.

Hamdan berkata, pihaknya amat sibuk dalam penugasan Covid-19 seperti membuat sanitasi awam dan disinfeksi dalam premis bangunan.

Beliau berkata, pihaknya mengerahkan kira-kira 4,000 anggota untuk tugasan berkaitan wabak Covid-19 saja.

“Anggota saya bekerja selama 12 jam mengikut syif serta bertugas secara bergilir-gilir dalam tempoh penugasan Covid-19 ini. Saya tidak boleh membenarkan anggota saya bekerja berterusan selama 24 jam.”

Katanya, pihaknya memulakan penugasan Covid-19 sejak Februari lalu sejurus menerima arahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ia antaranya merangkumi operasi bantuan kemanusiaan dan bencana, membantu KKM dalam menguruskan rakyat Malaysia yang baru pulang dari negara berisiko Covid-19, pemindahan mangsa, sanitasi awam, membuat disinfeksi bas pelajar institusi pengajian tinggi dan menguruskan jenazah Covid-19.”

Beliau berkata, pihaknya banyak membuat disinfeksi di kawasan penularan positif Covid-19 yang tinggi seperti di Masjid Sri Petaling dan Pasar Borong Kuala Lumpur serta Kampung Dato Ibrahim Majid, Simpang Renggam di Johor.

Hamdan berkata, bomba menerusi Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) sudah melakukan operasi nyahjangkit melibatkan 57 operasi di seluruh negara.

“Mereka (Hazmat) ini diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana mempunyai kemahiran dan kepakaran tinggi, khususnya dalam bidang kimia dan biologi.

“Oleh itu, mereka saja yang boleh membuat penugasan disinfeksi dalam kawasan penularan Covid-19 positif yang tinggi berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM.”

Kataya, Hazmat mempunyai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap ketika memasuki kawasan titik panas Covid-19.

Tiada ulasan: