UMNO ONLINE
PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lebih 500,000 permohonan
orang ramai melalui aplikasi Gerak Malaysia untuk pulang bekerja, kata
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata PDRM akan menyediakan jadual pergerakan yang bermula dari 7 Mei-10 Mei ini bagi tujuan itu.
“Kita akan membenarkan rakyat terperangkap di kampung untuk pulang ke
bandar dan sebagainya. PDRM akan membuat kenyataan media mengenai
penjelasan yang lebih terperinci mengenai perkara itu.
“Bagi penjawat awam tidak perlu tergesa-gesa untuk balik pada hari
ini atau esok walaupun pejabat dibuka pada Isnin ini kerana Ketua
Setiausaha Negara (KSN) bersetuju mereka (penjawat awam) tidak perlu
memulakan kerja pada Isnin,” katanya pada sidang media harian di sini
hari ini.
Ismail Sabri berkata pihak majikan diminta supaya jangan mengambil
sebarang tindakan terhadap pekerja mereka yang belum mendapat kelulusan
dari PDRM untuk pulang memulakan tugas pada Isnin ini.
“Saya minta kerjasama majikan-majikan di syarikat swasta beri ruang
kepada pekerja mereka untuk memulakan kerja berdasarkan jadual
disediakan pihak polis.
“Jadi janganlah mengambil tindakan kalau pekerja mereka tidak mula
kerja pada Isnin depan kerana permulaan perjalanan adalah pada Khamis (7
Mei). Diharap tidak ada pekerja-pekerja yang diambil tindakan oleh
majikan-majikan swasta kerana ini bukan pilihan pekerja mereka tetapi
berdasarkan jadual dikeluarkan PDRM,” katanya.
Beliau berkata kerajaan akan meminta Kementerian Sumber Manusia untuk
melihat daripada segi perundangan jika tindakan boleh diambil terhadap
majikan yang mengenakan tindakan (disiplin) kepada pekerja mereka.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan