Esok sebahagian besar aktiviti ekonomi, sosial dibenarkan kerajaan

KUALA LUMPUR – Hari ini mungkin boleh diibaratkan sebagai hari yang tenang sebelum ribut melanda.
Bermula esok, Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan dengan sebahagian besar
aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan kerajaan bagi mengimbangi
keperluan untuk memulihkan ekonomi negara serta kepentingan membendung
wabak COVID-19.
Di media sosial, ramai meluahkan
kebimbangan langkah itu dikhuatiri akan meningkatkan kes positif
COVID-19 apabila rakyat mula keluar termasuk ke tempat kerja, berjoging
atau membeli belah untuk persiapan menyambut Aidilfitri.
Kes baharu positif virus itu kembali
mencatat tiga angka dengan 105 kes baharu direkodkan setakat 12 tengah
hari semalam, menjadikan keseluruhan 6,176 kes, sudah pastinya tidak
mengurangkan kebimbangan mereka.
Justeru, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk
Dr Noor Hisham Abdullah turut mengingatkan rakyat Malaysia bahawa
pandemik COVID-19 yang setakat ini meragut 103 nyawa belum berakhir.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin ketika mengumumkan PKPB dalam perutusan khasnya pada Jumaat,
sedar terdapat risiko peningkatan kes COVID-19 dan meminta semua pihak
mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Justeru, rakyat perlu tenang dan tidak
mengikut nafsu untuk melakukan aktiviti seperti sedia kala serta kekal
berada di rumah jika tiada keperluan penting untuk keluar.
Terus amalkan jarak sosial, kerap
mencuci tangan, memakai penutup hidung dan mulut serta melaporkan segera
kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan
COVID-19.
Ingat! penguatkuasaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) sedia ada masih tetap dilaksanakan walaupun PKPB
diperkenalkan, Isnin ini.
Menurut Menteri Kanan (Kluster
Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Akta Pencegahan dan
Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berkuat kuasa sepanjang
tempoh PKPB dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang ingkar. –
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan