HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Mei 2020

Sarawak belum buat keputusan benar lebih banyak perniagaan dibuka semula

Plaza Merdeka di Kuching, Sarawak. Kerajaan negeri akan 
membuat keputusan sama ada akan membenarkan lebih 
banyak perniagaan dibuka semula.
 
KUCHING: Kerajaan Sarawak belum membuat keputusan sama ada akan melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan membenarkan lebih bayak perniagaan dibuka semula bermula 4 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Douglas Uggah Embas berkata, beliau akan berunding dengan Ketua Menteri Abang Johari Openg susulan keputusan pengumuman kerajaan persekutuan hari ini untuk membenarkan kegiatan ekonomi dan sosial, melainkan himpunan ramai, beroperasi semula bermula 4 Mei.

“Saya telah hubungi setiausaha sulit ketua menteri untuk adakan temu janji. Kita akan buat pengumuman sebaik sahaja keputusan dibuat,” katanya pada taklimat media harian beliau di sini.

Unggah berkata, operasi pengesanan kes aktif Covid-19 akan dijalankan di Kampungan Tabuan, Kuching, mengenal pasti lebih ramai individu yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif wabak itu.
Semalam, beliau berkata, operasi pengesanan kes aktif dilanjutkan 3 hari lagi di Kota Samarahan kerana petugas kesihatan hanya berjaya meliputi 20% rumah di situ.

Operasi itu bermula Selasa dan sepatutnya berakhir semalam.

Kuching dan Kota Samarahan dikategorikan sebagai zon merah Covid-19.

Terdapat 30 zon hijau di negeri itu sekarang, 8 zon kuning dan 2 zon merah.

Zon merah adalah kawasan dengan lebih 41 kes aktif Covid-19, zon jingga (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau (sifar kes).

Dalam pada itu, Sarawak mencatatkan 2 lagi kes positif hari ini, kedua-duanya di Kuching.

Seramai 233 individu kini dirawat di hospital, dengan 4 di unit rawatan rapi (ICU) dan 2 memerlukan bantuan pernafasan.

Angka kematian akibat Covid-19 di Sarawak kekal 17 kes.

Tiada ulasan: