HARAKAH DAILY
KUALA LUMPUR: Tindakan drastik Kerajaan Perikatan
Nasional (PN) menutup ekonomi negara pada 18 Mac 2020 telah menyebabkan
rencatan dan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 28
peratus pada April lalu.
Keputusan tidak popular pimpinan Tan Sri
Muhyiddin Yassin yang menyaksikan KDNK turun lagi kepada 19 peratus
pada bulan Mei itu disifatkan oleh banyak ahli perniagaan terutama
bukan-Melayu sebagai keputusan menghancurkan ekonomi.
Pensyarah
Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai
bagaimanapun menyifatkan tindakan tersebut sebagai berani Malaysia
mengamalkan ekonomi perniagaan terbuka di mana sebolehnya kerajaan tidak
campur tangan.
“Inilah pertama kali kerajaan berani campur
tangan membuat keputusan, tutup ekonomi selama 2 minggu (ketika itu).
Keputusan berani itu diasaskan kepada semangat kerajaan prihatin kerana
memilih untuk menyelamatkan nyawa daripada menyelamatkan ekonomi,”
ujarnya.
Hal tersebut ulas beliau, berbeza dari kerajaan
sebelumnya di mana walaupun kes pertama COVID-19 sudah dikesan pada 29
Januari, namun tidak ada usaha-usaha drastik yang dilakukan termasuk
oleh Perdana Menteri Interim selepas itu.
Sebaliknya beliau yang
mengistilahkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ‘mengetuai kerajaan satu
orang’ pada 27 Februari telah membentangkan pakej rangsangan bernilai
RM20 bilion untuk ekonomi, tetapi bukan bagi menangani COVID-19.
Menurutnya,
penganalisis ekonomi dan perniagaan walaupun melihat secara negatif
tindakan Kerajaan PN, namun ia tidak dihiraukan kerana keutamaan
kerajaan kepada nyawa yang tidak boleh ditukar ganti hingga ada tujuh
peringkat sekatan pergerakan.
Namun kata beliau, akhirnya semua
pihak melihat rasional dan justifikasi tindakan itu hari demi hari dan
ia merupakan keputusan sangat baik hingga kerajaan mempertimbangkan
membuka kembali aktiviti ekonomi di sebalik risiko masih wujud.
Kata
Prof Barjoyai, Kerajaan PN sememangnya sangat rapuh kerana ia wujud
secara tidak langsung dari pergolakan politik kerajaan sebelumnya tanpa
dirancang penubuhan tersebut, tetapi satu-satunya kerajaan sejak merdeka
yang mewakili kaum Melayu.
“Walaupun dia rapuh, dia berwibawa
kerana dia membawa, dan ini sebenarnya membayangkan peralihan kuasa yang
jelas kepada kaum Melayu sebagai kaum majoriti di Malaysia. Ditubuhkan
29 Februari, 1 haribulan (Mac) Perdana Menteri mulakan tugas,” ujarnya.
Beliau
juga menzahirkan kekaguman apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi
Perdana Menteri pertama dalam sejarah membaca doa secara langsung di
televisyen, mengetuai takbir raya dan menonjolkan ciri keislaman dalam
pentadbiran. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan