KUALA LUMPUR – “Saya cukup sakit hati dengan kenyataan biadab dan kurang ajar calon Parti Warisan (Warisan) Sabah, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mengatakan tragedi Lahad Datu satu sandiwara,” tegas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Beliau yang terlibat dalam misi menghantar bantuan ke kawasan tragedi pencerobohan pengganas Sulu itu atas nama Kelab Putera 1Malaysia melihat sendiri keadaan salah seorang anggota keselamatan yang terkorban.
“Saya melihat sendiri keadaan salah seorang anggota polis yang terkorban (ASP Michael Padel). Badannya dikelar, tubuhnya dicederakan, hatinya dilapah. Cukup jahat dan zalim perbuatan pengganas Sulu.
“Apa yang berlaku ketika itu adalah anggota polis kita dikhianati dengan maklumat salah daripada rakyat sendiri. Pengganas Sulu sebenarnya sudahpun berkumpul dalam rumah penduduk.
“Mereka mengugut orang kampung dan menyamar sebagai rakyat tempatan supaya pihak berkuasa tidak sedar kehadiran mereka,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.
Beliau mengulas kenyataan Mohamaddin ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelmarin, menyindir pasukan keselamatan negara cuma berperang dengan ayam dan anjing dalam tragedi berdarah pencerobohan pengganas Sulu Februari 2013.
Mencerita lanjut pengalamannya, Abdul Azeez berkata, wajah dan bentuk tubuh pengganas Sulu yang serumpun dengan orang tempatan menyebabkan penyamaran mereka berkesan.
Katanya, ketika itulah enam anggota polis yang diketuai Superintendan Ibrahim diserang hendap oleh pengganas apabila cuba membuat pemeriksaan.
“Semua jenazah enam anggota polis ini ditemui dalam keadaan cukup ngeri. Ada yang dikeluarkan otak, dicabut mata, dipenggal kepala, dikoyakkan muka dan dicincang-cincang.
“Saya menyaksikan sendiri keadaan semua perwira yang gugur ini. Ini semua perbuatan manusia yang tiada dalam hati mereka sezarah pun iman!
“Ketika itu, saya adalah antara individu yang terlibat secara langsung dalam krisis ini dengan mengetuai Kelab Putera 1 Malaysia bagi kerja logistik dan kebajikan kepada pihak berkuasa dan orang awam,” katanya.
Dengan nada marah, Abdul Azeez yang merupakan Presiden Kelab Putera 1Malaysia mengecam Mohamaddin yang bermulut kurang ajar dan biadab.
“Apa, Mohammadin Ketapi ingat dia ini setaraf dengan perwira kita? Mulut kurang ajar dan biadab ini tidak ada tempat dalam masyarakat yang cintakan negara. Ini semua butir-butir kata yang berbaur pengkhianat dan kebencian tidak bertempat.
“Di manakah Mohammadin Ketapi dan rakannya ketika rakyat Sabah memerlukan ketika itu? Pengkhianat ini tidak wajar berpijak di atas tanah bumi ibunda kita semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan